Jika Pas-Umno berunding, tiga penjuru tidak mustahil berlaku

Jika Pas-Umno berunding, tiga penjuru tidak mustahil berlaku

Rundingan antara Pas yang mendakwa pihaknya sebagai Blok Ketiga dengan Umno tidak mustahil akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kira-kira dua tahun dari sekarang.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, Pakatan Harapan terpaksa menempuh kemungkinan situasi itu sekaligus bersedia untuk pertandingan tiga penjuru.

“Pas terang-terang pada hari ini mahu jadi kuasa ketiga. Mereka mungkin mahu buat satu rundingan dengan Umno yang hanya memberi kesinambungan hayat kepada Umno untuk terus memerintah.

“Kita berdepan dengan perkara yang tidak dapat dielak sama ada Pas tetap akan bertanding di kerusi yang ditandinginya pada PRU13 lepas dan ini pastinya bertembung dengan Amanah.

“Kemungkinan (pertandingan) tiga penjuru di kerusi-kerusi terbabit amat tinggi tambahan Pas juga terang-terang menentang DAP,” ujarnya dalam ‘Wacana Terbuka: Amanah Bawa Tuah atau Rebah?’ semalam.

Sehubungan itu, katanya, satu formula perlu dicari untuk menumpaskan BN walaupun Amanah dan Pakatan Harapan bertempur dengan Pas.

Ambil pengajaran

Mengambil contoh pengalamannya bertanding tiga penjuru di Parlimen Seremban pada PRU13 lalu, beliau berkata, terdapat pengundi Melayu yang tegar menolak DAP tetapi pada masa sama tidak mahukan BN.

“Saya juga menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan undi diperoleh calon Isma agak signifikan iaitu hampir 7,000 undi.

“Ya. Tiga penjuru pada PRU14 nanti bukan satu yang kita mahu lihat tetapi realiti yang perlu kita hadapi,” ujarnya.

Untuk rekod, Isma buat pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada PRU13 atas tiket Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) di tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Selanjutnya, mengulas insiden pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, Mei lalu antara DAP dan PKR, Anthony berkata, hal itu wajar memberi pengajaran besar kepada Pakatan Harapan.

“Kita perlu ambil pengajaran sekurang-kurangnya dalam Pakatan Harapan, itu tidak berulang dalam PRU14,” tambahnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)