Jika perbicaraan diadakan, silalah tangkap saya, kata Mahathir

Jika perbicaraan diadakan, silalah tangkap saya, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya berkaitan kenyataannya mengenai projek pembangunan Forest City di Bandar Iskandar, Johor yang mendapat kritikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bekas Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya berkaitan kenyataannya mengenai projek pembangunan Forest City di Bandar Iskandar, Johor yang mendapat kritikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam blognya hari ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau bersikap terbuka dalam menjawab cabaran Tuanku Sultan.

“Saya mengaku bahawa saya berada di dalam keadaan yang agak lemah. Sementara sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian, saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya.

“Saya tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan oleh DYMM Sutan Johor terhadap saya berkenaan pembangunan JB.

“Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya.

“Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar,” ujarnya.

Dr Mahathir  mencabar The Star untuk siarkan suratnya bertarikh 16 Januari itu,  secara keseluruhan dan disiarkan oleh akhbar itu di “ruang surat” hari ini, dan surat sama turut dimuat naik di blognya itu.

Dr Mahathir merujuk kepada kenyataannya yang dilaporkan Bloomberg pada 22 November lalu dan dirujuk  The Star dalam temubual eksklusif  yang diadakan akhbar itu bersama  Sultan Ibrahim  yang disiarkan semalam dan dipetik oleh beberapa media lain.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengkritik Dr Mahathir kerana cuba memainkan “politik perkauman” dalam cubaannya mengyingkirkan pelaburan China dari negeri itu, lapor The Star dalam satu temu bual eksklusif yang disiarkan semalam.

Sultan Ibrahim mendakwa bekas perdana menteri itu “mencipta ketakutan, menggunakan kaum untuk memenuhi motif politik”.

“Tidak mengapa untuk tidak bersetuju tetapi tolonglah jangan mereka-reka benda,” kata Sultan Ibrahim seperti dipetik The Star dalam temubual eksklusif diadakan.

Sultan Ibrahim mencabar Dr Mahathir menunjukkan kepada Johor pelabur dari Arab, Australia atau AS “daripada mengecam China”.

Sultan Johor juga bertitah, baginda “amat tersinggung dan disakiti” oleh beberapa ulasan dibuat Dr Mahathir sejak beberapa minggu lalu.

Kata Dr Mahathir, Bloomberg melaporkan sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Ianya juga melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar) dan mereka ini sudah, malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

Dr Mahathir mengakui beliau memperkenalkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di zaman pemerintahannya tetapi ujarnya itu tidak bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjual kepada rakyat asing yang akan tinggal di sana.

FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

“Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

“Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

“Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai,” terangnya.

Justeru beliau menegaskan perlunya ada dokumen transaksi berkaitan pelaburan,jumlah pekerja asing, negara asal, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman sertaa semua penghantaran wang keluar negara dibuat secara telus.

“Jadi biarlah Transparency International yang benar-benar “International” memeriksa dokumentasi rasmi yang dikeluarkan. Biarkan rakyat meneliti dokumen tersebut untuk buktikan kesahihannya.

“Janganlah pulak disuruh seseorang yang bernama Tunku Aziz untuk mengesahkannya. Mungkin dia ini pada satu masa mengetuai Transparency International, tetapi dia menerima tanpa belah bagi rompakan dan rasuah yang terjadi dalam 1MDB.” terangnya.

Tuduhan mengatakan beliau rasis dan bersikap perkauman serta digelar ultra Melayu, Dr Mahathir berpandangan ia semata-mata untuk memburukkan imejnya dan menunjukkan kegagalan pihak tertentu untuk mematahak apa yang beliau katakan mengenai kepincangan urustadbir oleh kerajaan.

“Ia mencerminkan ketiadaan asas untuk hujah bagi melawan hujah saya.

“Ini adalah negara berbilang kaum. Rakyat berlainan keturunan, bahasa, agama, budaya dan pencapaian ekonomi telah tinggal dengan aman.

“Di banyak negara, hanya kerana perbezaan interpretasi yang sedikit pada agama yang dianuti bersama menyebabkan pergaduhan dan peperangan. Tetapi Malaysia stabil dan aman.

“Ianya stabil dan aman kerana kita terima keadaan sesama kita. Selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak terdapat pergaduhan kaum yang serius. Konflik ada. Tetapi tanpa keganasan. Dan negara dapat dibangun.

“Jika saya amalkan perkauman, zaman saya akan terlihat ketidaktentuan dan kemunduran di negara ini.

” Sesiapa boleh pertikai apa yang saya katakan. Itu hak demokratik semua orang.” ujarnya.

 

TAGS