Malaysia Dateline

Jika perlu bubarkan saja Muafakat Nasional, kata Nur Jazlan

“Jika mereka tidak mahu terima keputusan kita, kita putuskan sahaja hubungan,” kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Lagi pun katanya, ramai yang tahu Muafakat Nasional ini bukan gagasan politik yang rasmi, ia ditubuhkan untuk menyatukan dua parti iaitu Pas dan Umno.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk membuat keputusan ini bahkan di peringkat Umno Pulai juga akan mengusulkan untuk tidak lagi bersama Pas dan jika perlu bubarkan sahaja Muafakat Nasional.

Nur Jazlan juga berkata, Pas seharusnya lebih relevan dan melihat sendiri parti mana yang lebih dominan berbanding hanya mahu meminta pihak lain menurut permintaan mereka.

“Jadi jika mereka mahu bersama kita (UMNO), sepatutnya mereka ikut cara kita, mereka juga perlu akur dan melihat keputusan kita (tidak mahu bersama Bersatu),” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan SrivAbdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya sebelum ini berkata, Umno dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama Bersatu.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar dalam kancah politik negara.

Nur Jazlan berkata, agenda perpaduan bangsa dan kebersamaan sebagai Islam seringkali diratib Pas juga harus dihentikan kerana perkara itu hanya sebagai platform parti berkenaan untuk mendapatkan sokongan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perling, di sini pada Sabtu.