Jika PM labur RM2 bilion, Malaysia tidak perlu 1.5 juta pekerja Bangladesh

Jika PM labur RM2 bilion, Malaysia tidak perlu 1.5 juta pekerja Bangladesh

Negara tidak memerlukan 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh jika kerajaan menerima cadangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menyarankan dana khas bernilai RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil untuk menyesuaikan operasi bagi memenuhi keperluan gaji minima.

Fahmi FadzilNegara tidak memerlukan 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh jika kerajaan menerima cadangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menyarankan dana khas bernilai RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil untuk memperbaharui, menggerakkan dan menyesuaikan operasi bagi memenuhi keperluan gaji minima.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, walaupun gaji minima hanya salah satu dari beberapa teras utama untuk menyelesaikan masalah pasaran kerja, ia merupakan satu langkah asas yang cukup penting.

Malah tambahnya, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memulangkan ‘lebihan derma’ sebanyak RM2 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan melabur dengan mewujudkan dana khas seperti yang dicadang di atas, beliau yakin isu 1.5 juta pekerja Bangladesh, dan isu belia Malaysia tidak bersedia melaksanakan kerja-kerja 3D (kotor, sukar dan bahaya) tidak akan berbangkit.

“Oleh itu, saya gesa Putrajaya untuk hentikan rancangan ‘pelaburan’ 1.5 juta pekerja warga asing dan fokus kepada pelaburan pendidikan dan modal insan yang merupakan strategi lebih mampan untuk masa depan pasaran kerja Malaysia,” katanya.

Menurut Fahmi, ramai yang bertanya sama ada keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh itu sebagai langkah yang positif atau perlu.

Malah ujarnya, apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bertanya sama ada anak muda bersedia untuk mengambil alih kerja-kerja 3D, media melaporkan respons yang diterima tidak begitu memberangsangkan.

“Apabila kita mengambil pandangan yang lebih jauh dan strategik, kita akan lihat bahawa isu pekerjaan – sama ada dari aspek gaji, peluang pekerjaan, pekerja warga asing, #2kerja dan sebagainya – memerlukan bukan sahaja perubahan minda dan budaya di kalangan penggubal dasar tetapi juga di kalangan rakyat Malaysia termasuk juga golongan pemodal,” ujarnya yang juga Naib Ketua Angkatan Muda PKR.

Menurutnya, isu pekerjaan harus dilihat dari aspek pelaburan bukan sahaja untuk membina kilang, jalan, dan prasarana pasaran yang lain, tetapi juga pelaburan modal insan dari segi pemahaman hak dan tanggung jawab pekerja terutamanya mengukuhkan kesatuan-kesatuan sekerja.

“Dan jika Perdana Menteri Najib Razak memahami isu pasaran kerja ini sepenuhnya, dan oleh sebab ‘derma’ itu tidak salah di sisi undang-undang seperti yang dikata Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya pulangkan RM2 bilion lebihan dari ‘derma Sheikh Saudi’ itu.

“Beliau sepatutnya ‘menderma’ jumlah yang besar itu kepada Putrajaya untuk membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia,” katanya sinis.

TAGS