Malaysia Dateline

Jika RUU Perbekalan Tambahan dibentang, sidang Parlimen wajar dipanjangkan

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Wan Anwar Wan Ibrahim, berpendapat persidangan Parlimen selama satu hari, dilihat tidak wajar diadakan.

Ini kerana katanya, beliau difahamkan pada sidang kali ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan akan dibentangkan.

“Saya difahamkan pada sidang kali ini, selain daripada kita akan mendengar titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kita juga akan dibentangkan dengan RUU Perbekalan Tambahan bertujuan memberikan kesahan atau mandat berkenaan Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Atas dasar itu, saya tidak fikir bahawa persidangan tersebut wajar untuk dibuat selama satu hari sahaja, memandangkan kalau ikut perkiraan sebelum ini, kita membuat perkiraan dengan mengambil kira apa yang berlaku kepada negara kita ketika ini, iaitu dilanda pandemik Covid-19.

“Dengan mengambil pertimbangan segala prosedur operasi standard (SOP) dan juga prinsip penjarakan sosial yang dikenakan KKM, saya kira bahawa maksimum kita boleh pergi ke mesyuarat, kalau sebelum ini semasa kita belum lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penentuan kita adalah sebanyak empat hari (maksimum),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persidangan Parlimen sehari dalam sesi perbincangan Borak Anak Muda Siri 18, yang bertajuk Masa Depan Pakatan Harapan.

Sesi perbincangan yang dibuat menerusi Facebook pada Jumaat lalu itu turut disertai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi dan Ketua Dapsy Malaysia, Howard Lee.

Dalam pada itu, Bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu menambah, jika dilihat senarai Parlimen yang menganggotai Inter-Parliamentary Union (IPU) yang terdiri daripada 179 negara, Malaysia adalah salah satu daripada anggotanya.

“Walaupun dalam keadaan pandemik, mereka masih lagi berupaya untuk menjalankan sidang Parlimen dengan mematuhi segala SOP yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa.

“Contohnya di United Kingdom (UK). Mereka telah menjalankan sidang secara hibrid iaitu ada sesetengah yang hadir ke dewan, manakala sesetengah lagi menerusi telesidang.

“Maksudnya, mesyuarat dilakukan secara sidang video dan undian yang dibuat itu adalah melalui sistem kawalan jauh (remote) dan mereka berupaya untuk meluluskan satu undang-undang dipanggil Coronavirus Act 2020,” katanya lagi.

Justeru itu, menurut Wan Anwar, di negara ini beliau tidak nampak kewajaran untuk membuat sidang Parlimen selama satu hari sahaja memandangkan RUU Perbekalan Tambahan perlu dibahas dengan penuh hemat.

“Ini kerana, ia melibatkan perbelanjaan yang besar iaitu RM250 bilion tambahan dengan RM10 bilion lagi yang memerlukan mandat daripada dewan untuk dibahaskan dengan cermat dan teliti.

“Ramai juga pakar-pakar, pengusaha industri dan persatuan peniaga mencadangkan untuk kita menggubal akta berkaitan Covid-19. Jadi, saya lihat tidak wajar untuk diadakan sidang Parlimen selama satu hari sahaja,” katanya lagi.

Namun secara asasnya, Wan Anwar berkata, kuasa untuk menentukan jumlah hari persidangan atau tarikh-tarikh hari persidangan adalah terletak kepada seorang Perdana Menteri (PM) yang merupakan Ketua Majlis (istilah dalam peraturan mesyuarat).

“Ini diperuntukkan dalam peraturan mesyuarat nombor 11(2) dan dalam peraturan tersebut, PM sebagai Ketua Majlis berhak untuk menentukan tarikh-tarikh bagi mesyuarat dewan.

“PM mempunyai kuasa untuk menukar tarikh persidangan dan beliau juga boleh mengawal tarikh mesyuarat tersebut bila mana tarikh itu telah ditentukan lebih awal,” ujarnya lagi.