Jika satu lawan satu, Pas mungkin tarik diri, kata Tun Mahathir

Jika satu lawan satu, Pas mungkin tarik diri, kata Tun Mahathir

Tidak mustahil untuk Pas menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini jika berlaku pertandingan dua penjuru memandangkan hubungan baik antara Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tidak mustahil untuk Pas menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini jika berlaku pertandingan dua penjuru memandangkan hubungan baik antara Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam entri terbarunya di laman chedet.cc, Tun Mahathir menyifatkan kemungkinan itu sebagai ‘tidak menghairankan’.

“Pas mungkin juga pura-pura menamakan calon tetapi apabila rakyat (pembangkang) tidak meletak calon, Pas akan menarik diri supaya BN menang tanpa bertanding.

“Kita tidak akan hairan jika ini dilakukan oleh Pas. Hadi nampaknya sudah terima ‘cash is king’ Najib walaupun dunia anggap Najib sebagai pemimpin yang kuat rasuah.

“Itu pilihan Hadi dan itu memanglah haknya. Sebab itulah PAS berpecah,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyarankan rakyat agar menyokong siapa juga yang melawan BN sebagai ‘calon rakyat’.

Bagaimanapun beliau yakin jika pembangkang meletak lebih daripada satu calon perpecahan itu akan memberi kemenangan kepada BN.

“Rakyat (pembangkang) perlu letak hanya satu calon sahaja. Malangnya jika Hadi meletakkan calon Pas ini juga akan menolong BN jika rakyat letak calon melawan BN dan Pas.

“Sebab itu untuk mengelak perpecahan di kalangan rakyat, jika Pas letak calon, rakyat perlu bagi sokongan padu kepada calon Pas supaya Pas menang besar dan BN kalah besar.

“Kalaupun Pas menang, ia tidak dapat mendiri kerajaan. Ia cuma akan menjadi hamba kepada BN yang memiliki lebih ramai wakil darinya,” tulis Tun Mahathir.

Beliau menambah, apabila Sarawak mengadakan pilihan raya negeri dan BN menang, Najib mendakwa kemenangan dirinya sebagai Perdana Menteri walaupun kemenangan BN di Sarawak lebih disebabkan faktor Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem.

“Sebenarnya kemenangan itu disebabkan dasar Adenan yang utamakan Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu BN dikalahkan dalam pilihan raya kecil di Semenanjung bagi menghalang Najib daripada mendakwa kemenangan itu sebagai penerimaan rakyat terhadapnya.

“Pilihan raya kecil ini adalah pertandingan antara rakyat dengan Najib. Ia bukan pertandingan antara mana-mana parti lawan dengan BN.

“Oleh itu saya gesa supaya rakyat mengalahkan calon Najib. Kekalahan BN bermakna kemenangan rakyat melawan pemerintahan kuku besi Najib,” jelas beliau.

TAGS