Malaysia Dateline

‘Jika saya seperti itu sudah pasti digari, dilokap lima hari lima malam’

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa pihak polis tidak berlaku adil dalam mengambil tindakan terhadap penganjur demontrasi Turun-Turun yang dianjurkan Pemuda Pakatan Harapan  malam menyambut tahun baru pada Ahad lalu.

Ia berikutan penganjuran “Himpunan Turun! Turun! – Turun Harga Minyak, Turun Najib Razak”  itu dipercayai melanggar peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pihak polis berat sebelah. Jika saya yang seperti itu sudah pasti di gari dan di lokap lima hari lima malam. Adakah polis takut kepada mereka. Tidak adil”, katanya dalam kenyataannya ringkas di whatapps hari ini.

Himpunan yang dianggarkan disertai 300 penyokong itu  mula berhimpun  di Sogo  dan  berarak ke Dataran Merdeka pada jam 11 malam.

Dalam perhimpunan diadakan  telah berlaku pertikaian antara polis dan penganjur  kerana di dapati melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini kerana polis mendapati  terdapat penyokong yang  membawa pembesar suara, dan dram  serta pemimpin  yang turut berucap antaranya  Datuk Khairuddin Abu Hassan, Saiful Anang, Nik Nazmi Nik Ahmad  yang didapati tidak menepati syarat perhimpunan yang dibenarkan oleh polis.

Dalam satu laporan di petik Ketua Polis Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah memberitahu media bahawa polis akan menyiasat penganjur perhimpunan Turun-Turun kerana didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 itu.

Shaharuddin dipetik berkata, beliau telah bersetuju dengan penganjur mengadakan perhimpunan kerana penganjur berjanji bahawa akan menjadikan perhimpunan itu aman tetapi penganjur tidak menyebut mengenai terdapat alat pembesar suara, ucapan dan dram untuk mempermudahkan protes itu diadakan.

Shaharuddin turut memberitahu bahawa polis akan menyiasat penganjur perhimpunan itu kerana melanggar peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Demontrasi Turun-turun itu diadakan sebagai himpunan kemuncak kepada flashmob Turun-Turun  yang pernah diadakan sebelum ini di seluruh negeri.