Malaysia Dateline

Jika tahu tidak cukup pesawat, mengapa masih jual tiket penerbangan?

AirAsia Malaysia sepatutnya tahu jika mereka tidak mempunyai pesawat yang mencukupi bagi menampung permintaan penerbangan mendadak, mereka tidak sepatutnya membuka jualan tiket kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu boleh dilabel sebagai ‘misrepresentation’ atau mengeluarkan sesuatu yang mengelirukan apabila menjadualkan semula penerbangan pelanggan yang sudah ditempah lebih awal.

Ada juga aduan dibuat di mana selepas beberapa jam mereka membuat tempahan tiket penerbangan, syarikat tersebut menghantar SMS pemakluman penjadualan semula masa penerbangan.

Justeru soal Kelvin, jika pihak syarikat AirAsia sudah meramalkan masalah yang akan berlaku pada dua minggu akan datang, mengapa mereka masih lagi menjual tiket tersebut kepada orang ramai.

“Jika mereka boleh meramalkan masalah itu, mengapa menjual tiket itu? Pelanggan bukan sahaja hilang penerbangan tetapi ramai terpaksa tukar jadual penerbangan dengan penerbangan penghubung yang lain.

“Itulah sebabnya MAVCOM mesti memastikan syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap perkara ini. 

“Tindakan perlu diambil dan MAVCOM perlu lebih proaktif untuk mengambil tindakan kerana masalah ini telah berlaku sejak April lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kelvin turut mengulangi gesaannya agar tindakan pantas mengenai isu tersebut serta dasar jangka panjang ditetapkan segera untuk memastikan hal ini tidak berlaku dan syarikat penerbangan sentiasa bertanggungjawab terhadap jadual yang ditetapkan mereka.

Tambahnya, walaupun kerajaan mengatakan bahawa adanya siasatan, tetapi ia bukan alasan untuk menangguhkan tindakan kerana tiada keperluan untuk siasatan yang panjang.

Terdahulu, AirAsia membuat permohonan maaf kepada pelanggan yang mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan susulan peningkatan permintaan mendadak pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, beberapa faktor dan insiden yang tidak dapat dielakkan telah mengakibatkan kelewatan di luar jangkaan serta kawalan syarikat penerbangan itu.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini ialah permintaan untuk penerbangan domestik telah naik dengan sangat mendadak dan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas.

AirAsia Malaysia juga kini dikatakan beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat semasa prapandemik.