Malaysia Dateline

Jika terpilih saya akan bekerja untuk semua kaum, tegas Karmaine

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini menegaskan beliau akan bekerja untuk semua kaum sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Menurut laporan JohorKini, beliau berkata, seorang wakil rakyat yang bagus tidak boleh mewakili satu kaum tertentu saja.

“Saya calon untuk semua kaum. Sebagai wakil rakyat, kita kena kerja untuk semua kaum.

“Kalau untuk kaum tertentu saja itu bukan namanya wakil rakyat, itu wakil kelompok parti atau kaum tertentu,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di program walkabout bertemu penduduk di sekitar Pekan Nanas hari ini, menurut laporan itu.

Turut serta dalam kempen itu, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Menurut laporan itu lagi, semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pengundi bijak memilih calon yang boleh menjadi wakil rakyat kepada semua kaum dan bukannya kerana faktor Melayu.

Mengulas lanjut, Karmaine berkata, tidak ada konsep wakil rakyat untuk kaum tertentu diamalkan dalam pentadbiran di negara ini.

“Di Malaysia tak ada konsep macam itu sebenarnya. Konsep kita adalah untuk semua.

“Di Tanjung Piai kita dah ada satu Dun yang diwakili orang Cina. Jadi untuk Parlimen sudah tentu kita kena letakkan calon Melayu kerana kita parti kerajaan yang perintah ketika ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kempen yang memasuki hari kedua, Karmaine berkata, beliau memfokuskan kepada bertemu dengan rakyat dan memperkenalkan diri.

“Mungkin ada yang dah tahu nama tapi tak kenal muka,” katanya.

Beliau juga mengakui terdapat perbezaan dengan kempen ketika bertanding di Parlimen Pontian pada PRU14.