Malaysia Dateline

Jika tidak tangguh ibadah umrah, gelombang Omicron akan jauh lebih tinggi

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi menjelaskan alasan kerajaan menangguhkan kebenaran ibadah umrah selepas isu tersebut masih lagi menjadi pertikaian ramai pihak.

Beliau berkata, keputusan penangguhan sementara dilakukan ekoran ujian positif Covid-19 varian Omicron terlalu tinggi pada hari pertama dan hari kelima membabitkan jemaah umrah yang baru tiba di Malaysia.

Menurutnya, angka jangkitan Covid-19 tidak sepatutnya tinggi pada hari pertama, dan kerana itu kawalan terhadap penularan varian Omicron perlu dilakukan segera.

“Sepatutnya jumlah positif ujian hari pertama dan kelima tidaklah tinggi sangat sebab mereka buat ujian pra pelepasan dua hari sebelum mereka berlepas dari Arab Saudi.

“Memang mereka buat ujian pra dua hari sebelum. Mungkin mereka dijangkiti Covid-19 sebelum mereka berlepas atau dijangkiti dalam pesawat.

“Tapi dari 31 Disember hingga 4 Januari, ujian hari pertama yang positif dari Arab Saudi sebanyak 1,303 pengembara. Pra pelepasan negatif, ketika tiba di Malaysia, positif

“Ujian hari kelima pula seramai 1,260 pengembara positif. Ini menunjukkan bahawa ujian pra pelepasan di Arab Saudi tidak kesan kes-kes itu dan kalau kita tidak buat keputusan untuk kuarantin dan tangguhkan perjalanan, maka kita akan melihat gelombang Omicron jauh lebih tinggi,” jelasnya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Untuk rekod, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan ibadah umrah selama sebulan bermula esok, 8 Januari.