Malaysia Dateline

Jika Umno berjaya rampas kuasa PM, mampukah Ismail Sabri jadi pengganti?

Bukanlah perkara rahsia lagi bahawa Umno sememangnya diketahui umum mempunyai matlamat mahu merampas kerusi Perdana Menteri daripada Mahiaddin Md Yasin.

Di sebalik penarikan sokongan Umno kepada Mahiaddin, keputusan parti itu merestui pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang disertai dengan gesaan agar Perdana Menteri berundur daripada jawatannya, tujuannya tidak lain ialah dengan harapan agar pemilikan kerusi Perdana Menteri dapat berpindah kepada Ahli Parlimen Bera itu.

Dengan direstui Zahid Hamidi dan Najib Razak untuk beliau menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri diyakini akan memangku jawatan Perdana Menteri kiranya Mahiaddin berjaya diundurkan.

Dengan sudah pun sedia tergolong dalam kumpulan kluster Kabinet, restu Zahid Hamidi dan Najib kepadanya memberi makna bahawa Ismail Sabri boleh dikira memiliki sokongan daripada kluster mahkamah dan juga daripada kluster Kabinet bagi tujuan merampas kerusi Perdana Menteri daripada Mahiaddin.

Meski dua golongan berkenaan nampak macam berbalah, asal untuk Umno dapat semula jawatan Perdana Menteri, bila-bila masa dalil dan hujah boleh dicipta untuk menghalalkan perdamaian.

Sebab itu, meskipun Ismail Sabri terus menyatakan sokongannya bersama kluster Kabinet terhadap kepimpinan Mahiaddin, Zahid Hamidi dan Najib dalam masa yang sama terus-menerus mengkritik, mengasak dan mencari salah Perdana Menteri, seterusnya menggesa pengundurannya.

Bersama penolakan rakyat dan blok pembangkang terhadap Perdana Menteri, asakan Zahid Hamidi dan Najib tidak lain adalah bertujuan untuk sama-sama melemahkan kedudukan Mahiaddin.

Lantaran itu, tidak hairan, walau pun menolak dan menggesa pengunduran Mahiaddin, Zahid Hamidi dan Najib kekal dengan pendirian mempertahankan kerajaan pintu belakang PN ini.

Maksud tersirat daripada permainan ini ialah apabila Mahiaddin berjaya dijatuhkan, maka tampuk kepimpinan kerajaan PN diharapkan akan berpindah untuk diambil alih oleh Ismail Sabri.

Meski pun kalah PRU14 pada 2018 lalu, cita-cita tersembunyi Umno ialah mahu segera kembali mengusai kerajaan dengan secepat mungkin.

Bagi tujuan tersebut, di samping terus dengan asakan, kiranya ada sebarang pengundian atau usul yang memungkinkan Mahiaddin dijatuhkan, misalnya seperti yang berlaku di Perak sebelum ini, majoriti Ahli Parlimen Umno hampir pasti akan menyokong usul berkenaan.

Sementara waktu

Walaupun tujuannya ternampak untuk memenuhi aspirasi rakyat yang benci dan menolak Mahiaddin serta menampakkan bekerjasama dengan PH serta blok pembangkang, matlamat sebenar Umno ialah agar Ismail Sabri yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri lebih berpeluang dijadikan pengganti atau sekurang-kurangnya memangku jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu.

Lantaran itu, perhitungan Umno ialah tetap menolak untuk bekerjasama dengan PH bagi menaikkan Anwar Ibrahim kerana ia dianggap menyimpang daripada matlamat sebenar mereka.

Kenapa menjatuhkan Mahiaddin menjadi pilihan ialah kerana Umno sebenarnya sedar adalah susah untuk mereka kembali berkuasa semula, melainkan jika dapat merampas kerusi Perdana Menteri daripada Presiden Bersatu itu sebelum Parlimen dibubarkan.

Bertanding sendirian dan terpaksa berdepan dalam persaingan tiga penjuru – BN, PN dan PH – sementara kuasa Perdana Menteri masih di tangan Mahiaddin, tidak saja kemenangan jauh daripada gapaian, malah merisikokan Umno jadi berpecah dua akhirnya.

Berikutan PAU2020 telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, kemungkinan untuk Umno bekerjasama dengan PN dan menyokong lagi Mahiaddin daripada Bersatu sebagai Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang sudah pasti mustahil untuk dilakukan.

Untuk bekerjasama dengan PH pula, halangan paling besar bagi Umno ialah bimbang akan ditolak oleh pengundi tradisinya lantaran diburu bayangan ketakutan terhadap DAP yang ada dalam gabungan tersebut.

Untuk itu, jalan paling mungkin untuk Umno selesa mendakap semula kuasa hanyalah dengan cara merampas kerusi Perdana Menteri daripada Mahiaddin yang sedang terperosok lemah ketika ini.

Mahu tidak mahu, sebelum Parlimen dibubarkan, itulah matlamat Umno dan jika gagal berbuat demikian, harapan menang pilihan raya juga turut jadi pudar sama.

Masa depan Malaysia bakal lebih teruk daripada era Mahiaddin yang sedia gagal jika Ismail jadi pengganti?

Merampas kerusi 

Dua persoalan yang timbul di sini – pertama, boleh berjayakah Umno dengan mempertaruhkan Ismail Sabri untuk merampas kerusi Perdana Menteri daripada Mahiaddin.

Kedua, cukup mampukah Naib Presiden Umno itu jika diberi tanggungjawab sebagai ketua kerajaan dalam suasana negara begitu kritikal dengan krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi sekarang ini?

Bagi persoalan pertama, seboleh mungkin Mahiaddin tentunya tidak semudah menanggalkan pakaian untuk mengalah dan melepaskan jawatannya, apatah lagi jika ternampak kemungkinan Ismail Sabri bakal jadi penggantinya.

Memberi laluan kepada kemungkinan jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh Ismail Sabri bererti ia suatu kejayaan besar buat Zahid Hamidi, Najib dan Umno, sekaligus menambah lagi kegagalan Mahiaddin yang terlibat secara langsung menumbangkan BN pada PRU14 lalu.

Lebih membuatkan hati Mahiaddin tambah pedih barangkali kerana kalau perkara itu terjadi, bererti kuasa pemerintahan negara seperti diserahkan semula ke pangkuan Najib dan Zahid Hamidi berikutan kedua-dua merekalah yang berpengaruh dalam Umno ketika ini.

Dengan itu, rasanya-rasanya mati hidup balik pun Mahiaddin akan sedaya upaya bertahan serta tidak akan melepaskan jawatannya kepada Umno.

Dari segi sama ada mampu atau tidaknya Ismail Sabri, mari kita fikirkan logika paling mudah mengenainya.

Tanpa mengambil kira sama ada beliau mempunyai kelebihan dalam hubungan baik dengan mana-mana pemimpin dunia atau tidak, contohnya seperti Anwar atau Hishammuddin Hussein yang memang diketahui memiliki rangkaian mengkagumkan dan sama ada beliau ada wibawa yang setanding untuk berdiri sama tinggi dengan pemimpin antarabangsa lainnya jika memegang jawatan Perdana Menteri, perkara yang harus kita nilaikan ialah apakah rekod Ismail Sabri di beberapa kementerian selama ini yang boleh rakyat banggakan tentang pencapaiannya selain gagalnya projek Mara Digital?

Dengan projek kecil seperti Mara Digital pun gagal dijadikan kejayaan, ada jalankah untuk beliau berkeupayaan membawa negara jadi lebih baik dan mampu dipulihkan atau masa depan Malaysia bakal lebih teruk lagi daripada era Mahiaddin yang sedia gagal ini?