Malaysia Dateline

Jika Zahid didakwa, kenapa individu lain yang terima dana dari UKSB tidak didakwa?

Pendedahan saksi dalam kes mahkamah melibatkan Zahid Hamidi dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet menunjukkan bahawa SPRM sekali lagi telah gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka.

Saksi daripada UKSB telah mendedahkan di mahkamah bahawa dia telah memberikan wang kepada beberapa menteri dan termasuklah seorang bekas perdana menteri.

Saksi ini adalah saksi pihak pendakwaan maka saksi juga adalah saksi SPRM sendiri. Bagaimana SPRM boleh berlagak bahawa mereka tidak tahu tentang perkara ini dan hanya menyatakan akan membuka siasatan selepas perkara ini didedahkan di mahkamah dan setelah ditekan orang awam?

Takkan SPRM tidak tahu? Jika Zahid Hamidi didakwa di mahkamah kerana terima rasuah, mengapa mereka yang lain yang terima wang daripada UKSB tidak didakwa? Kalau Zahid Hamidi bersalah terima rasuah, mereka yang lain juga turut salah.

Malangnya VIP-VIP tersebut tidak didakwa. Jawatan bekas perdana menteri jelas menunjukkan SPRM memang dijadikan senjata politik untuk menfaat pihak berkuasa.

Adakah SPRM tidur atau sengaja mahu menutup perkara ini? Jika benar, lebih baik SPRM tukar nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada Suruhanjaya Penutup Rasuah Malaysia.

Tindakan SPRM sebegini rupa sangat mengecewakan. Jelas bahawa terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih yang dilakukan oleh SPRM. Jelas bahawa SPRM telah gagal dan telah digunakan sebagai alat politik.

Bagi memulihkan keyakinan terhadap SPRM, perlu ada satu perubahan secara menyeluruh termasuk Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sendiri yang terpalit dalam skandal salah guna kuasa.

Perlu ada rombakan secara besar-besaran dalam SPRM supaya kita dapat pulihkan keyakinan dan perbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Jika tidak bukan sahaja kedudukan ini akan bertambah buruk malah lebih banyak lagi kerosakan akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang akan merugikan negara dan rakyat akibat rasuah.

Baca juga: Mahkamah tolak saman pegawai khas PM ke atas peguam, diarah bayar kos RM10,000