Jingga 13 kecewa ada individu mahu Tun jadi munafik

Jingga 13 kecewa ada individu mahu Tun jadi munafik

Mutakhir ini terdapat suara-suara sumbang yang mendesak agar Tun Mahathir terus kekal berkuasa sehingga sepenggal sebagai Perdana Menteri (PM).

Tindakan sebegini benar-benar memperlihatkan kejelekan politik apabila mencadangkan agar Tun menjadi munafik, iaitu melanggar konsensus Pakatan Harapan (PH) yang telah pun dimeterai secara bersama oleh Tun sendiri dalam satu perjanjian Muafakat PH pada 6 Januari 2018 yang lalu di Shah Alam.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa.

Jelasnya lagi, Jingga 13 optimis Tun merupakan seorang negarawan, orang Islam dan bangsa Melayu yang beradab mulia serta mempunyai integriti dan kredibiliti.

“Yang pasti beliau akan mengotakan janji tersebut, yakni untuk menyerahkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Harus diingat bahawa peribahasa Melayu, kerbau dipegang tali hidungnya, manakala manusia pula dipegang pada janjinya yang menuntut agar manusia berpegang pada janji, bukannya bersifat munafik iaitu apabila berjanji diingkari.

“Malah bercakap bohong merupakan perbuatan yang ditegah sama sekali dalam Islam,” tegas beliau.

Sehingga ini pelbagai pihak khususnya melibatkan komponen PH mengeluarkan pelbagai pandangan pro dan kontra mengenai isu tersebut.

Ia bukan saja memperlihatkan kecamukan dan kecelaruan dikalangan pimpinan komponen PH, sebaliknya memberi persepsi negatif kepada rakyat bahawa PH tidak mengotakan apa yang telah dicanang-canangkan sebelum ini.

Sehubungan itu PH harus beprinsip dan berpendirian tegas tanpa tunduk kepada mana-mana desakan setelah adanya perjanjian yang telah disepakati pada Januari 2018 yang lalu.