Malaysia Dateline

Jingga 13 desak kerajaan tidak hentikan elaun kritikal penjawat awam

Jingga 13 Malaysia amat kecewa dengan keputusan kerajaan untuk menghentikan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal sepertimana yang dicadangkan.

Malah pemberhentian elaun kritikal tersebut kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam mulai tahun hadapan merupakan suatu tindakan yang amat mengecewakan dan perlu dihentikan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Koordinatornya, Fariz Musa.

“Tindakan sebegini akan menimbulkan rasa kemarahan dan kurang senang penjawat awam khususnya golongan yang terlibat dengan pemberhentian elaun kritikal tersebut.

“Ia juga dibimbangi akan memberi impak serta natijah yang negatif kepada kerajaan Pakatan Harapan yang sedang menerajui kepimpinan tatkala ini.

“Sehubungan itu Jingga 13 mendesak agar pelaksanaan pemberhentian elaun kritikal tersebut tidak dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan juga negara, ” ujar beliau.

Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui kenyataannya menyatakan bahawa pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BiPK) hanya membabitkan pelantikan baharu yang dilantiik mulai 1 Januari 2020.

Namun begitu JPA turut menyatakan bahawa penerima BiPK sedia ada tidak akan terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BiPK secara khas untuk penyandang mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.