Malaysia Dateline

Jingga 13 saran hentikan istilah ‘Tukar Menteri Tukar Polisi’

Amalan yang menjadi kelaziman sebelum ini iaitu ‘Tukar Menteri, Tukar Polisi’ seharusnya dihentikan dengan segera.

Demikian disarankan oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa ekoran isu cadangan untuk mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Jelasnya cadangan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang juga merupakan pemangku Menteri Pendidikan untuk melaksanakan PPSMI semula adalah suatu tindakan yang benar-benar menghina rakyat yang telah bermati-matian berhempas pulas bangkit menentang pelaksanaan tersebut sebelum kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 lagi.

“Sejarah tidak boleh dilupakan apabila parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, para cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan dengan pelbagai pengorbanan yang telah dibuat semata-mata bagi memansuhkan PPSMI sebelum ini.

“Selain itu kajian bebas dan antarabangsa turut membuktikan tahap pencapaian negara merosot dengan teruknya dalam kalangan 59 negara serta memberikan kesan negatif kepada pelajar di luar bandar.

“Himpunan membantah PPSMI pada 7 Mac 2009 tidak harus dilupakan dengan begitu mudah kerana ia masih lagi dalam ingatan mereka yang hadir dan tidak akan begitu mudah dilupakan, lebih-lebih lagi dengan tindakan pihak polis menggunakan gas pemedih mata untuk menghalang dan menghentikan himpunan rakyat serta usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI bagi menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong memohon Baginda campur tangan menyelesaikan isu tersebut,” tegasnya.

Katanya lagi, Jingga 13 Malaysia menzahirkan rasa kecewa dengan proposal untuk melaksanakan semula PPSMI selepas pengambilalihan jawatan Menteri Pendidikan bagi menggantikan Dr Maslee Malik.

“Kita jangan lupa dan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan yang turut menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan menteri yang lain.

“Seluruh rakyat negara ini yang telah berjuang dengan penuh kudrat dan semangat juang memansuhkan PPSMI sebelum ini seharusnya menolak usaha menghidupkan semula PPSMI.

“Tidak dapat dinafikan sekiranya cadangan untuk melaksanakan PPSMI ini diterima semula oleh kabinet maka ia akan memakan kos perbendaharaan negara bagi merealitikan cadangan tersebut, ” ujarnya.

Malah tambah beliau, anak-anak bangsa Malaysia tidak harus menjadi mangsa kepada eksperimen dan kaedah baru yang hendak diperkenalkan sekiranya amalan ‘tukar menteri, tukar polisi’ masih lagi menjadi amalan.

Menurut Fariz lagi, idea yang lebih bernas dan segar adalah diperlukan dengan pendekatan yang lebih efektif dalam usaha mengangkat dan memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris serta penguasaan Sains dan Matematik dikalangan para pelajar.

Sehubungan itu kata beliau, Jingga 13 Malaysia merayu kepada kabinet yang bakal bersidang dan membincangkan cadangan tersebut mengambil keputusan menolak cadangan pelaksanaan PPSMI yang dicadangkan oleh Pemangku Menteri Pendidikan.