Jiran buat-buat baik bagi pisang goreng, rupanya nak pinjam RM3K! Sanggup tikam guna gunting bila tak dapat pinjam

Oleh KIM SYAZIE

Niat warga emas mahu membantu seorang lelaki yang kesempitan duit akhirnya membawa padah apabila dia ditikam dan ditumbuk oleh pemuda tersebut.

Menerusi hantaran Facebook anak kepada mangsa, Hazwani Ishak, dia menceritakan semula kejadian hitam yang menimpa ibunya.

Hazwani memaklumkan bahawa ibunya, Norma Bakar, 69 tahun menjadi mangsa rompakan lelaki yang juga anak kepada jiran tetangga rumahnya.

Tambahnya suspek yang berusia 30 tahun juga merupakan menantu kepada kepada pegawai kerajaan berpengaruh di Kubang Pasu, Kedah.

“Ibunda saya Norma Bakar yang berusia 69 tahun telah menjadi mangsa rompakan dan pergaduhan di rumah sendiri pada Ahad lepas.

“Suspek yang terlibat dalam tindakan keji ini adalah anak lelaki kepada seorang kenalan dan jiran ibu saya, seorang individu berusia 30 tahun yang juga menantu kepada seorang pegawai kerajaan berpengaruh di daerah Kubang Pasu, Kedah,” ujarnya dalam hantaran.

Menurutnya, suspek mendekati mangsa untuk meminjam wang sebanyak RM500 dengan alasan mahu membeli susu anak selepas kehilangan kerja.

“Dengan belas kasihan, ibu saya dengan baik hati memberikannya wang tersebut. Namun, situasi ini semakin memburuk apabila suspek tiba di rumah kami dengan membawa pisang goreng, bertujuan untuk berkongsi hidangan bersama.

“Kemudian, dia meminta tambahan wang sebanyak RM3,000, menyatakan bahawa dia masih kekurangan dana. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, ibu saya enggan memberikan lebih banyak wang kepadanya.

“Penolakan ini menyebabkan dia tiba-tiba melampau dengan tindakan kekerasan,” tambahnya.

Tanpa belas kasihan suspek dikatakan menumbuk kedua-kedua mata sebelum menyerang mangsa dengan gunting tajam.

Suspek dikatakan sempat mengambil barang berharga sebelum meninggalkan mangsa yang berdarah dan pengsan.

“Dalam keadaan yang rapuh ini, dia dengan kejam merampas perhiasan, telefon, dompet dan semua wang tunai ibu saya.

“Untuk memperburuk keadaan, dia tanpa belas kasihan meninggalkannya sendirian dalam keadaan pengsan dan memerlukan bantuan perubatan segera,” katanya.

Tambah Hazwani, suspek telah ditahan dan mengaku melakukan kesalahan tersebut, malah bukti mengaitkan suspek dengan kes juga berjaya dirampas.

“Kami mendapat sedikit kelegaan apabila mengetahui bahawa suspek telah ditahan dan mengaku melakukan kesalahan tersebut.

“Tambahan pula, bukti telah ditemui yang mengaitkan beliau dengan barang kemas yang dirampas daripada ibu saya.

“Kini, kami bergantung kepada sistem perundangan untuk menyampaikan keadilan yang sepatutnya, bukan hanya untuk ibu saya tetapi juga bagi keselamatan semua orang . Terima kasih PDRM Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police),” maklum Hazwani.

Apabila memerlukan bantuan, bukankah keluarga antara orang pertama yang dicari untuk meminta pertolongan, mengapa jadikan orang tidak bersalah sebagai mangsa.

Baca juga: Tekad tuntut keadilan, ayah Dea Maisarah bakal failkan saman sivil?