Malaysia Dateline

Jiran nekad tampal notis pada pintu, mohon jiran sebelah perlahankan suara masa layan Piala Dunia

Demam Piala Dunia 2022 masih belum surut. Ramai penyokong tidak tidur malam semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak.

Tatkala pasukan yang disokong merai kemenangan, jeritan ‘gol’ memecahkan kesunyian pagi sehingga dikatakan telah mengganggu ketenteraman jiran.

Seperti satu kejadian yang berlaku di Singapura baru-baru ini, seorang penduduk di republik itu nekad menampal notis di pintu jirannya kerana sering terganggu akibat bunyi bising, lapor portal Mothership.

Dalam notis itu, dia memaklumkan kepada penghuni tersebut bahawa perbuatan mereka yang menjerit semasa menyaksikan Piala Dunia itu membuatkan orang lain terjaga pada waktu malam.

“Kepada jiran kami di #09-09, Saya tahu sekarang adalah musim Piala Dunia dan ia akan berakhir tidak lama lagi. Tetapi saya harap kamu boleh memberi kerjasama untuk perlahankan suara dan jeritan kamu apabila perlawanan bermula pada pukul 3 pagi.

“Argentina menang 3 gol menentang Croatia dan kamu menjerit 3 kali. Kami perlu bekerja pada keesokan harinya. Kami mohon jasa baik anda dan terima kasih banyak. Harap Argentina akan memenangi Piala Dunia. Daripada jiran-jiran anda,” tulis dalam nota itu.

Argentina berjaya menewaskan Croatia 3-0 pada pusingan separuh akhir sekali gus melayakkan mereka untuk mara ke pusingan akhir.

Argentina dijadualkan akan ke aksi final Piala Dunia menentang Perancis pada Ahad, 18 Disember pada pukul 11 malam nanti.

Demam Piala Dunia menyebabkan ramai mula jatuh sakit akibat rutin tidur tidak teratur. Mereka dilaporkan berjaga dari jam 2 pagi hingga 5 pagi, dan kemudian bersiap untuk ke kerja.