“Jiran tegur bila aku mengandung lagi. Padahal ini kali pertama jejak rumah suami sejak PJJ”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka perkahwinan jarak jauh (PJJ) yang ditempuhinya bersama suami bakal hancur sekelip mata lepas empat tahun berumah tangga.

Memutuskan untuk menikah selepas lima tahun bercinta di alam universiti, wanita bernama Rina ini rupa-rupanya telah dikhianati oleh lelaki yang paling dipercayainya.

Berikut adalah perkongsian Rina yang terpaksa menghadapi tempoh berpantang dalam penuh keperitan selepas rahsia besar suaminya mula terbongkar.

“Aku Rina, berusia 38 tahun. Seorang ibu yang bekerjaya sebagai cikgu di sebuah sekolah menengah harian di utara tanah air. Aku juga memiliki cahaya mata seorang. Suami aku bekerja sebagai pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selepas berkahwin, suami dapat tawaran sebagai pegawai imigresen manakala aku pula masih dalam sesi latihan guru. Jadi kami berkahwin PJJ. Aku akan datang ke tempat latihan dia pada setiap hujung minggu. Terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk ke sana sebab suami masa itu masih belum ada kereta.

“Kalau tak larat aku akan pergi naik bas ke tempat suami. Alhamdullilah lepas setahun lebih, aku ditempatkan di salah sebuah sekolah dan suami pula di KLIA. Jarak yang jauh memang memisahkan kami. Sekarang bukan setakat tiap-tiap minggu, kadang-kadang sampai dua bulan sekali baru kami dapat jumpa.

“Jumpa pun sehari setengah sahaja. Alhamdullilah, masuk tiga tahun kami PJJ, aku disahkan mengandung anak pertama. Jadi, memang suami akan kerap datang ke tempat aku. Tetapi aku tetap perlu memandu kereta pergi pergi klinik sendiri, check-up anak. Malam-malam kaki kebas, urut sendiri. Kalau loya atau muntah terpaksa hadap seorang dekat sini. Memang sedih sangat.

“Sudah lebih 20 kali mohon pertukaran ke negeri suami bekerja. Tapi malangnya masih belum ada kekosongan. Segala surat rayuan pelbagai jenis dan jabatan aku hantar. Tetapi jawapan yang diterima menghampakan, belum ada kekosongan. Suami juga banyak kali isi borang permohonan untuk tukar ke negeri aku mengajar. Tetapi mungkin ini dugaan buat kami. Kami akur.

“Syukur alhamdullilah, aku selamat lahirkan anak lelaki walaupun masa itu suami tiada di sisi. Memang sedih. Lepas lapan jam bersalin, baru lah suami sampai di hospital. Suami bawa pulang ke kuarters yang dia tinggal untuk aku berpantang. Dia pilih untuk jaga aku semasa berpantang.

“Memang berbunga-bungalah hati. Aku tahan sakit dan perit lepas bersalin dalam perjalanan ke kuarters suami yang memakan masa tujuh jam itu. Suami bawa perlahan sangat. Tiada hentakan kereta semasa suami memandu. Syukur sangat aku dapat suami yang memahami.

“Bermulalah episod tempoh aku berpantang di kuarters suami. Rumah itu suami siap hias dan bersihkan cantik-cantik sebab aku dan anak nak duduk. Aircond siap dipasang, tak nak bagi aku kepanasan dalam rumah. Katanya, nak aku selesa dalam kuartes tu. Cair terus aku. Lagi bertambah-tambah cinta sayang dengan suami.

“Tetapi langit tak selalunya cerah. Aku mula perasan perubahan sikap suami. Telefon dia akan berdering setiap kali 5 minit. Mesej dekat Whatsapp juga akan masuk setiap lima ke 10 minit. Bila aku tanya, dia cakap boss dia nak laporan, update itulah, inilah. Nampak riak muka suami macam cuak bila aku kerap bertanya dan sindir dia, ‘hai sayang, sibuk mengalahkan perdana menteri ya telefon sayang’.

“Dia senyum, dan perlahankan volume. Kadang-kadang suami akan tetapkan nada vibrate bila sampai rumah supaya telefon tak bedering lagi. Memang hati aku kurang sedap dan mengesyaki sesuatu dekat suami. Aku cuba tepis perasaan itu. Tak mungkin suami curang sebab tahun ini dah masuk tahun ke-9 kami berkenalan sejak dari zaman belajar. Aku kenal sangat perangai suami.

“Tipulah kalau aku tak pernah periksa telefon suami. Tetapi semua naik nama lelaki En Shahid, En Zarif, atau Adam. Semua lelaki, dan nama-nama itu semua aku kenal. Memang pegawai atasan dan kawan suami di pejabat. Hati jadi lebih tenang sebab nama lelaki yang tertera di skrin telefon dia.

“Jadi aku buang jauh-jauh rasa syak wasangka terhadap suami dan yakin dia keluar mencari rezeki untuk mencari nafkah dengan ikhlas. Masuk hari ke-35 berpantang di rumah suami, aku terasa teringin nak keluar rumah sebab anak kami terkena kuning. Mak pesan kalau anak terkena kuning ikut petua orang kampung. Jemurkan dekat cahaya matahari pada waktu pagi untuk mengurangkan kuning.

“Aku ambil kerusi, meja dan lapik dengan toto kecil untuk jemur bayi di pangkin kuartes. Masa itu memang ada jiran yang lalu depan rumah tegur aku dan anak. Tetapi yang peliknya dah dekat empat orang yang lalu depan rumah tanya soalan yang sama. ‘Awak isteri Zarul ke? Wahh, comelnya bayi. Tak pernah nampak awak dekat sini, awak baru kahwin ke?’

“Aku hanya senyum dan balas, ‘taklah, saya sudah tiga tahun berkahwin dengan suami’. Riak wajah mereka seperti ada sembunyikan sesuatu dari aku sehingga ada seorang wanita berusia lingkungan 45 tahun lalu di depan rumah kami. Dia yang aku namakan Akak Siti lalu dan tegur aku.

Akak Siti: Eh Fasha, bila kau mengandung lagi. Akak lalu sini tak perasan pulak kau. Eh. Awak siapa?

Aku: Saya Rina, isteri Zarul. Baru saja bersalin bulan lepas. Berpantang di rumah suami.

Akak Siti: Oh, Zarul kahwin lain ke? Tak pernah nampak pula awak. Maaf ya, awak isteri ke dua ke pertama?

Aku: Sayalah satu-satunya isteri Zarul. Tiada ke dua atau ketiga. Saya seorang sahaja isteri Zarul.

“Akak Siti terdiam hanya mampu tersenyum sinis. Walaupun aku tahu dia terlepas cakap. Memang aku rasa nak pitam. Nak nangis bila Akak Siti soalan macam itu dekat aku. Dia salam aku dan berlalu pergi. Dalam hati memang terdetik, ‘kau siap Zarul, kau siap. Aku nak dengar pengakuan dari mulut kau sendiri’.

“Aku bawa masuk lepas itu. Memang hati aku rasa remuk bila dengar Kak Siti cakap macam itu. Suami balik petang, aku berlakon tuangkan air teh dekat dia. Tanya nak makan apa, aku nak masak kan. Aku dah siap tidurkan anak masa suami balik kerja. Dia minta dekat aku nak maggi goreng. Aku buatkan siap telur mata atas maggi.

“Muka memang senyum habislah. Mungkin dia kebulur. Tengah dia suap maggi ke mulut aku pun mula tanya, ‘ayang, tadi Fasha datang cari ayang’. Suami tersedak maggi sampai terkeluar dekat lubang hidung dia. Memang sakit sangat aku tengok masa dia tersedak. Aku cuba urutkan belakang badan dia dan bagi air. Dia tolak pinggan maggi yang tak habis dimakan ke tengah meja.

Suami: Fasha? Kenapa?

Aku: Entah, dia cari ayang. Cantik dia kan yang. Ayu je muka dia. Tak macam saya baru lepas bersalin sememeh. Dia siap bawa anak lagi.

Suami: Ha? Ok, nanti abang telefon, tanya apa dia nak.

Aku: Siapa Fasha tu ayang?

Suami: Err, kawan abang.

Aku: Iya ke ayang? Entah-entah isteri ke dua ayang kot?

Suami: Eh, jangan merepeklah. Awak seorang sahaja isteri saya.

Aku: Betol ke ayang? Saya sedia terima kalau dia isteri ayang. Cuma abang kena jujur dengan saya sahaja. Saya tak kisah.

“Muka suami berubah bila dengar aku cakap macam itu. Dia duduk tak senang. Lalu bangun duduk di kerusi dekat ruang tamu rumah kami. Dia panggil aku duduk sekali dan cakap, ‘sebenarnya ada perkara yang abang nak bagi tahu. Harap sayang dengar dan tak salahkan abang. Dengar penjelasan abang sampai habis dulu’.

“Memang sah suami mengaku depan aku. Si Fasha ini isteri kedua dia. Lebih kurang setahun mereka berkahwin tanpa pengetahuan aku dan keluarga suami. Mereka kahwin senyap-senyap tapi bukan di Thailand, di Malaysia. Majlis perkahwinan dibuat secara kecil kecilan saja.

“Sebenarnya, selepas Kak siti terlepas cakap tadi, aku terus pergi ke rumah dia. Selang empat pintu dari kuarters kami. Aku korek segala rahsia yang Kak siti terlepas cakap. Rupa-rupanya selama ini suami duduk di kuarters bersama Fasha. Semua jiran tetangga tahu yang Zarul berkahwin dengan Fasha, bukannya dengan aku.

“Sebab lepas kami dinikahkan aku tak pernah tinggal di kuarters ini. Patutlah rumah suami bersih dan kemas. Rupa-rupanya si Fasha yang kemaskan. Aircond yang dipasang suami bukan untuk aku sebenarnya. Untuk Fasha dan bayi mereka. Barang dapur lengkap sebab Fasha yang masak untuk suami. Untunglah ada isteri dekat dan jauh.

“Bila aku minta penjelasan lain, dia kata kenal Fasha waktu training dulu. Tetapi Fasha tak lepas dan gagal waktu itu. Suami memang rapat dengan Fasha untuk penuhi masa terluang. Bila jarang jumpa aku, memang keinginan dan rasa jatuh cinta secara tiba-tiba wujud dalam hati suami.

“Akhirnya suami putuskan kahwini Fasha tanpa pengetahuan aku dan keluarga dia. Suami akui memang hati tak tenang lepas buat keputusan membelakangi aku dan keluarga, kahwin secara diam diam. Hati aku bila dengar satu per satu alasan suami memang hncur. Remuk hati aku tambahan lagi bayi pula baru lepas keluar.

“Malam itu juga aku minta izin Zarul untuk pulang ke rumah kedua orang tua. Aku minta masa untuk bertenang bersama dengan bayi kami. Mulanya memang suami menolak sekeras-kerasnya sebab dia masih mahu menjaga aku waktu itu. Aku merayu pada dia jika tak nak benda yang tak diigini berlaku, hantar aku ke kampung.

“Zarul hantar aku ke kampung malam itu juga. Dalam kereta aku mendiam diri. Bila dia tanya pun tak jawab, aku boikot dia. Sampai sahaja di kampung malam itu, aku minta dia jangan cari dalam tempoh sebulan. Bagi aku masa. Aku tak tahu nak terima berita ini macam mana. Adakah ini ujian bagi aku atau sebaliknya.

“Dekat kedua orang tua aku pun, aku masih jaga aib suami. Aku tak bagi tahu yang dia sudah berkahwin lain. Aku banyak berkurung diri dalam bilik. Hanya tangisan menemani aku setiap malam. Tergamak Zarul perlakukan aku begini. Sekarang dah masuk sebulan di kampung, Zarul memang ada usaha untuk pujuk aku kembali.

“Tetapi aku abaikan. Hati aku masih belum boleh terima kehadiran Fasha dalam hidup. Aku sangkakan kahwin PJJ ini indah tapi dikhianati suami sendiri. Para pembaca semua doakan hati aku terbuka untuk terima dugaan ini. Untuk terima madu aku. Walaupun kadang-kadang memang aku terfikir untuk cerai sahaja,” luah Rina.

Baca juga: Cendawan goreng tepung kekal ranggup dan tak berminyak, ini rahsianya…