Malaysia Dateline

Jiwai nasib pelarian Rohingya bukan hina secara pukal

Penulisan ini aku kemaskini daripada penulisan yang pernah saya kongsikan tiga tahun dahulu. Cakap-cakap masyarakat ketika itu tentang isu umat Islam Rohingya saya kira sama seperti ketika ini. Saya yakin penulisan ini tidak akan disenangi oleh semua pihak, tetapi saya menulis berdasarkan pengalaman kerdil bergelumang dengan etnik ini sejak lapan tahun lalu.

“Kenapa kamu beria sangat nak pertahan Rohingya?” Itu antara persoalan yang dilempias kepada saya setelah mengambil sikap membela umat Islam Rohingya selepas isu ini tiba-tiba bangkit. Secara peribadi, isu Rohingya ini sangat memberi makna yang sangat mendalam kepada diri saya. Isu umat Islam Rohingya adalah permulaan saya bergiat aktif dalam arena kesukarelawan.

Tahun 2012 adalah antara tahun yang tegang di wilayah Arakan. Junta tentera telah melancarkan serangan terhadap umat Islam Rohingya di wilayah tersebut menyebabkan ramai yang terkorban.

Dilaporkan, tidak kurang yang diseksa dan dirogol bahkan ada yang dibakar hidup-hidup. Saya pada ketika telah diajak untuk menyertai misi ke Arakan, Myanmar untuk menghantar bantuan kepada etnik tersebut. Itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke luar negara.

Namun, hasrat untuk memasuki wilayah bergolak itu terkandas. Kami hanya mampu sampai di Yangoon untuk bertemu rakan pertubuhan Islam di sana untuk menyerahkan sumbangan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.

Selepas misi tersebut, saya bergiat aktif bersama Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya. NGO ini memfokuskan untuk memperjuangkan nasib muslim umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Myanmar.

Selain membangkitkan kesedaran masyarakat, kami turut mengadakan misi kemanusiaan bagi membantu mengurangkan beban para pelarian yang melarikan diri ke negara berhampiran. Sekurang-kurangnya dua kali saya turun ke Acheh, Indonesia untuk menyampaikan sumbangan di dua buah pusat perlindungan pelarian Rohingya di sana.

Tiga tahun lalu, saya telah diberikan kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke bumi Rohingya. Satu anugerah dan peluang yang sangat bermakna buat diriku. Bukan senang untuk sampai ke wilayah bergolak itu. Penuh dengan kerencaman risiko.

Tahun lalu, saya sekali lagi menjejakkan kaki ke wilayah bergolak Arakan melalui misi Serantau Muslim. Misi tersebut disertai oleh Ustaz Hakim Mohd Nor, Dr Taufiq Razif, Afnan Rosli, Ustaz Shamsul Anwar Mohd Busra dan beberapa lagi sukarelawan lain.

Ketika itu, kami membawa amanah ribuan rakyat Malaysia yang menyertai ibadah qurban melalui Serantau Muslim. Lebih 2,000 ekor lembu dan kambing kami qurbankan di wilayah bergolak tersebut dan berjaya menyampaikan daging qurban kepada ribuan keluarga yang dikurung oleh junta tentera Myanmar.

Misi itu agak mencabar apabila kami mendapat maklumat akan berlakunya serangan daripada sebuah pihak ke wilayah bergolak itu, kebetulan kami sedang berada di sana. Kami diarah pulang segera oleh pihak kedutaan Malaysia di Myanmar demi keselamatan kami.

Disamping itu, NGO ini turut membantu dari pelbagai aspek termasuklah kebajikan mahupun pendidikan khususnya untuk anak-anak Rohingya yang berada di Malaysia. Bagi kami menjadi tanggungjawab untuk membantu mereka dari sudut rohani mahupun jasmani.

Oleh sebab itu, isu umat Islam Rohingya ini sangat dekat dengan hati kami yang bergiat secara langsung. Walaupun kami bukanlah paling berautoriti, namun sedikit sebanyak kami menjiwai apa yang mereka hadapi.

Isu Rohingya ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia telah berlarutan sejak sekian lama. Cumanya, ia akan menjadi perhatian umum setiap kali penguasa Myanmar melancarkan serangan terhadap saudara seakidah kita itu.

Namun, kali ini isu ini berbangkit dalam suasana rakyat ‘dikurung’ melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan melalui pihak berkuasa menghalau kapal yang membawa pelarian Muslim Rohingya daripada mendarat di Malaysia untuk menyelamatkan diri.

Tindakan tersebut telah menyebabkan tidak kurang 20 etnik Rohingya dilaporkan mati setelah kapal yang mereka naiki hanyut selama berminggu-minggu selepas gagal menuju ke Malaysia.

Label negatif Rohingya

Sehari dua ini tular beberapa penulisan, pandangan dan respon orang ramai yang menggambarkan sisi negatif pelarian Rohingya di negara ini sebagai asas bahawa mereka tidak sewajarnya diberi ruang untuk berada di Malaysia.

Ada yang mengatakan membantu mereka ibarat melepaskan anjing yang tersepit. Ada juga mengatakan mereka sememangnya patut dihalau oleh Malaysia dan dan diusir oleh negara mereka sendiri.

Ramai yang melabel secara syumul mereka ini adalah etnik melampau, kurang ajar, pengotor, biadap, tidak kenang jasa, jahat, dan sebagainya. Bagi saya, tiada siapa menafikan adanya kesan negatif daripada kehadiran mereka ke negara ini.

Dari sudut taraf kerakyatan, keamanan, bebanan yang terpaksa ditanggung kerajaan dan sebagainya, perkara ini adalah realiti yang terpaksa dihadapi apabila kita membenarkan mereka mendarat ke negara untuk selamatkan diri.

Walau bagaimanapun, aspek yang dilihat sangat negatif ini telah diambil secara menyeluruh sedangkan ia bukanlah amalan keseluruhan pelarian Rohingya yang berada di negara ini.

Kaedah pukul rata untuk menjustifikasikan secara keseluruhan etnik tersebut adalah satu tindakan yang tidak wajar. Jangan kerana segelintir itu, kita memadam semangat iman kita semasa umat Islam sedangkan kita ini adalah bersaudara, rentas kaum, negara dan warna kulit.

Sikap negatif yang ada pada segelintir pelarian ini bukan ada pada pelarian Rohingya sahaja. Pengalaman saya bergelumang dengan pelarian di seluruh dunia, sememenangya punya sikap begini.

Bukan semua, tetapi ada pada semua pelarian. Dalam misi saya membantu pelarian Syria di Lubnan, Turki, Jordan dan di negara Syria sendiri, saya turut menjumpai kelompok negatif ini. Tanyalah pengalaman NGO mana sekali pun, mereka akan kongsikan pengalaman yang sama.

Misalnya, sahabat saya di Lubnan, mereka mengurus sepenuhnya pelarian ini. Daripada tempat tinggal, pakaian dan makan minum setiap hari. Pelarian ini memang duduk di rumah yang didirikan dan bantuan mereka diberi 100 peratus.

Mereka hanya tinggal di negara itu semata-mata teruskan hidup dan jalani kehidupan seharian. Tidak perlu susah untuk fikir cari duit kerana mereka tidak dibenarkan untuk bekerja dan bergerak keluar daripada kem pelarian.

Dengan segala bantuan yang diberi itu pun, pelarian-pelarian ini ada juga yang bersikap negatif kepada NGO tersebut. Dimaki, dikasari adalah perkara biasa bagi mereka.

Namun, NGO ini tetap berkhidmat membantu pelarian-pelarian Syria itu. Kerana bagi mereka, sikap negatif segelintir itu bukan lesen untuk mereka membiarkan golongan tertindas itu terus dizalimi dan diabai.

Ertinya, masalah dalam kalangan pelarian ini bukan semata-mata ada pada pelarian Rohingya, tetapi ada di semua kelompok pelarian. Meminjam ayat Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, janganlah dipukalkan mereka bagaikan binatang dan layak dilayan dengan buruk. Sepertimana tuduhan kepada mereka ada yang buruk dan jahat, begitu juga bangsa kita ada kelompok sebegitu dan kita tidak suka hinaan pukal ke atas kita.

Bagi saya, sikap negatif yang ada pada segelintir pelarian itu adalah kesan daripada kezaliman yang mereka hadapi. Kezaliman itu bukan hanya terzahir di luaran, tetapi kesan dalaman itu lebih besar dan berbekas dalam diri serta jiwa mereka. Kita ini tidak hadap apa yang mereka hadap, oleh sebab itu kita tidak tahu bagaimana sebenarnya perasaan sebagai seorang pelarian dan insan yang dizalimi.

Sikap negatif yang ada pada segelintir pelarian Rohingya bukan dimiliki keseluruhan etnik tersebut.

Berkulit gelap

Lumrah dan realitinya, sikap buruk yang nampak di mata kita ini didorong daripada paras rupa mereka yang tidak cantik. Ya, mereka ditakdirkan oleh Allah berkulit gelap dan tidak indah di mata kita.

Tidak seperi pelarian Syria, pelarian Palestin. Keburukan yang ada pada segelintir kelompok pelarian Syria dan Palestin ini tidak berjaya merosakkan keindahan di mata kita secara syumul.

Saya ada terbaca komen-komen. Antaranya, “Jangan bagi mereka masuk Malaysia, kalau pelarian Syria takpelah!” Tetapi, apa beza pelarian Syria dan Rohingya ini? Bezanya hanya pada paras rupa, tetapi kezaliman dan penderitaan yang mereka hadapi adalah sama, malah dunia menganggap etnik Rohingya adalah etnik yang paling dizalimi dalam dunia ketika ini.

Samalah ketika saya bergambar dengan anak Syria dan dan Rohingya. Lain responnya. Apabila saya bergambar dengan anak Syria, ramai yang ‘like’ dan memberi komen yang sangat enak.

“Bawak la balik Malaysia, nak jadikan anak angkat”.”Comelnya! kasihan mereka, bawaklah Malaysia”. Namun apabila aku mendukung anak Rohingya, nak dapat satu ‘like’ pun susah. Bukan saya kejar ‘like’ itu tetapi daripada itu saya dapat menilai sisi pandang masyarakat terhadap golongan yang tertindas ini.

Berbalik kepada perkara penting dalam isu ini, iaitu tanggungjawab kita untuk menyelamatkan mereka daripada dizalimi. Ini bukan satu pilihan, tetapi ini adalah tanggungjawab kita sesama Mukmin.

Apabila tular berita pelarian Rohingya meninggal dunia dalam sebuah kapal kerana gagal berlabuh di Malaysia, saya sangat terkejut dengan respon segelintir masyarakat yang seolah-olah seronok dan menyambut positif tindakan tersebut. Saya tidak tahulah bagaimana mereka boleh berfikiran begitu.

Mungkin kerana mereka sayangkan negara, sayangkan kedaulatan negara. Dan tidak mahu pelarian ini merosakkan negara serta keharmonian bermasyarakat yang ada di Malaysia.

Saya faham dengan semangat dan fikiran tersebut. Namun, saya yakin respon segelintir itu berbeza jika kapal yang membawa pelarian itu adalah daripada Syria mahupun Palestin.

Bagi saya, kerajaan ada hak untuk terima atau menolak kapal itu kerana demi kedaulaan negara. Dan kerajaan juga ada hak untuk menolak pelarian itu berada di dalam negara ini.

Namun, kita harus akui, mereka berlabuh ke negara ini bukan kerana pilihan mereka tetapi demi menyelamatkan nyawa mereka daripada terus dizalimi oleh pihak tidak bertanggungjawab di negara mereka.

Tidak salah untuk kita menerima pelarian itu berlabuh dan kita mampu untuk mengurus mereka mengikut lunas undang-undang dan menghantar kembali mereka dengan cara yang sebaiknya.

Membiarkan mereka mati di atas kapal kerana kegagalan mereka ‘meminjamkan’ seketika nikmat Allah di negara ini bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab.

Negara kita ada undang-undang untuk kita hadapkan mereka mengikut lunas yang sebaiknya. Saya yakin mereka lebih sanggup untuk melalui kesulitan itu daripada mereka mati dibunuh! Lainlah mereka ini adalah dari negara yang aman dan sengaja datang ke Malaysia demi tujuan tertentu.

Menerima pelarian ini bukanlah satu perkara yang asing dalam dunia ini. Turki antara negara yang paling ramai menerima pelarian iaitu lebih empat juta pelarian Syria.

Namun, atas efisien dan kecekapan kerajaan Turki, pelarian-pelarian Syria mampu diurus dan disantuni dengan model kawalan yang dikagumi. Mereka dibantu dalam masa yang sama tidak mengabaikan kebajikan rakyat Turki.

Saya yakin, jika kita menghayati kezaliman yang mereka lalui, kita akan menerima tindakan mereka berlayar berhari-hari melalui pelbagai ujian tanpa ada bekalan makanan untuk sampai ke Malaysia menyelamatkan diri.

Saya tidak dapat bayangkan betapa getirnya ujian dan cabaran yang telah mereka lalui, namun apabila sampai perairan, mereka diusir kembali dan akhirnya mati terdampar di tengah laut.

Hak sama rata

Hari ini hangat diperkatakan tentang isu hak sama rata yang dituntut oleh pelarian Rohingya di Malaysia. Sedangkan kenyataan tersebut bukanlah mewakili komuniti Rohingya di negara ini tetapi ia adalah kenyataan seorang individu sahaja yang sememangnya dikenali sering mengambil kesempatan atas nama Rohingya.

Majlis Rohingya Malaysia (MRM) hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan individu tersebut adalah atas tanggungjawab peribadi dia sendiri. Pihak MRM sudah meminta polis untuk terus mengambil tindakan ke atas individu tersebut dan mana-mana ketua komuniti Rohingya yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka di mana-mana media sehingga meningkatkan keresahan masyarakat.

MRM dan beberapa lagi NGO berkaitan Rohingya tidak bersetuju dengan mana-mana tuntutan kerakyatan oleh warga Rohingya di Malaysia dan apa-apa tuntutan lain yang bercanggah dengan prinsip Rukun Negara dan budaya bangsa kita.

Mereka menegaskan, Majlis Raja-Raja Melayu, Kerajaan Malaysia, NGO Malaysia serta Rakyat Malaysia perlu dihormati oleh semua warga asing dan warga pelarian yang bermastautin di dalam negara.

Ini jelas membuktikan komuniti Rohingya tidak pernah sesekali bersetuju dengan kenyataan untuk meminta hak sama rata di dalam negara ini.

Bantah kezaliman

Pembantaian ke atas mereka ini wajar dibantah dan dikutuk kerana ia merupakan salah satu tanggungjawab kita.

Dari sudut kefahaman agama Islam, Allah mensyariatkan dalam Surah At-Taubah ayat ke-6:

وَ إِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكينَ اسْتَجارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْلَمُونَ (6)

Dan jika seorang di antara orang- orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.

Ayat ini jelas, Allah menyeru umatnya agar membantu pihak yang meminta perlindungan sekali pun dari golongan musyrikin. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kepada kita untuk memberi perlindungan kepada etnik ini daripada diseksa dan dibunuh.

Kesan negatif seperti yang didakwa boleh dikawal melalui konsep bermasyarakat yang berpaksi kepada undang-undang negara. Malaysia mempunyai undang-undang yang tersusun. Setiap tindakan mereka boleh dihadapkan ke mana-mana peraturan dan hukuman. Walaupun akan wujud suasana tidak menyenangkan, namun tangungjawab kita menolong mereka tidak sama sekali terlepas.

Yakinlah, umat Islam termasuk etnik Rohigya yang 100 peratus Islam ini mampu dibentuk sifat dan akhlaknya. Mereka telah berjaya melalui ujian getir berbanding kita. Kerana mempertahankan akidah, mereka sanggup hadapi ranjau dan liku seperti ini.

Saya mengakui akan kegusaran sebahagian rakyat Malaysia, namun tanggungjawab kita membantu mereka yang sedang diuji ini jauh lebih aula’. Saya tidak kisah kalau ada yang tidak setuju, itu hak kalian, tetapi janganlah kita menghina etnik ini secara pukal sedangkan mereka saudara seakidah kita yang sedang diuji dan terus-menerus dizalimi.

Cubalah menjiwai akan nasib mereka ini seperti kita berada dalam situasi mereka. Sudah pasti kita merasai betapa peritnya ujian yang mereka terpaksa hadapi. Kita semua perlu tahu dan saya rasa semua tahu, mereka bertarung nyawa mengharungi ombak dan badai itu bukan kerana mereka suka-suka, tetapi mereka sedang berusaha menyelamatkan diri mereka.

Coretan ini bukan untuk memuaskan semua, saya hanya berkongsi kenangan bersama hamba Allah yang terpilih ini. Mereka telah mengajar saya tentang erti syukur, erti nikmat hidup dan erti persaudaraan.

*Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim dan aktivis kemanusiaan.