Malaysia Dateline

JK Bebas perlu nasihat Agong benarkan sidang Parlimen

Jawatankuasa bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa pengisytiharan darurat tidak menjadi penghalang untuk sidang khas Parlimen diadakan.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sidang khas Parlimen mengenai pandemik Covid-19 adalah bertepatan dengan Perkara 43 (3) Perlembagaan bahawa ‘Kabinet harus bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen’.

Menurutnya, keperluan sidang Parlimen ini diperkukuh dengan enam faktor iaitu antaranya mengambil kira keadaan negara selama 35 tahun dari 1977 hingga 2012, Parlimen tetap bersidang di bawah empat Proklamasi Darurat.

“Walaupun Ordinan Fasal 14 (1)(a) Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021 memperuntukkan bahawa “selama darurat berkuatkuasa, (a) peruntukan yang berkaitan dengan pemanggilan, prorog dan pembubaran Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berkuatkuasa”.

“Ini juga memperuntukkan dalam Fasal 14 (1)(b) bahawa “Parlimen akan dipanggil, prorog dan dibubarkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”

“Ketiga, perlembagaan seharusnya berdasarkan pada doktrin pemisahan kuasa eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

“… Dan setiap pengisytiharan darurat harus memenuhi keperluan pembahagian kuasa berpandukan Artikel 43(3) bahawa “Kabinet perlu bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Lim berkata, 19 orang anggota jawatankuasa perlu menyokong sidang Parlimen khas diadakan kerana keperluan untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam peruntukan sejumlah dana yang besar untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Ini menurutnya sangat penting apabila melihat kepada laporan buruk Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata, tidak ada alasan mengapa Malaysia harus melarang Parlimen dari menjalankan peranannya untuk meneliti Eksekutif kerana negara-negara lain dengan jumlah jangkitan yang jauh lebih tinggi tidak menangguhkan Parlimen mereka.