Malaysia Dateline

JK Tamat Darurat jumpa pakar kumpul maklumat untuk diserah kepada Agong

Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat akan melebarkan lagi jangkauan kempen mereka dengan berjumpa dengan seramai mungkin para pemegang taruh seperti para komuniti perniagaan, badan-badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan berkenaan dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusinya, Khalid Abd Samad, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa itu semalam bersama dengan wakil-wakil parti politik pembangkang.

“Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat juga akan mendapatkan pandangan daripada para pakar kesihatan, ekonomi serta undang-undang bagi menjelaskan situasi Darurat yang telah mendatangkan pelbagai kemudaratan yang tidak diingini kepada negara,” kata Khalid dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini.

Berdasarkan semua maklumat yang akan dikumpul, mereka yakin bahawa semua akan bersetuju bahawa penamatan darurat adalah jalan yang terbaik untuk menyelamatkan negara ini.

Daripada situ, katanya, semua dapatan itu akan dibentangkan kepada Yang Dipertuan Agong sebaik sahaja Baginda menetapkan tarikh pertemuan itu nanti.

Sebelum ini, Yang Dipertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’inBillah telah bersetuju untuk bertemu dengan wakil Jawatankuasa itu.

Ia dimaklumkan dalam sepucuk watikah yang dihantar Istana Negara kepada Khalid selepas beliau bersama dua lagi pemimpin pembangkan menghantar surat permohonan menghadap itu ke Istana Negara.

Malaysia Dateline difahamkan, selepas sidang media oleh pakar ekonomi baru-baru ini, jawatankuasa ini akan menganjurkan sidang media oleh pakar kesihatan dan undang-undang pula.

Kedua-dua pasukan pakar ini dikatakan akan bercakap dalam dua sidang media yang berasingan bagi menjelaskan kesan darurat pada pandangan profesyen mereka.