Malaysia Dateline

JK Tamat Darurat masih menunggu tarikh dari Istana Negara

Jawatankuasa Rayuan Penamatan Darurat masih menunggu tarikh dan masa dari Istana Negara untuk membolehkan mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan rayuan agar darurat ditamatkan.

Pengerusinya, Khalid Samad berkata, walaupun surat dari Istana telah diterima bahawa Seri Paduka Baginda bersedia untuk menerima mereka menghadap tetapi tarikh dan masa yang tepat belum diputuskan lagi.

“Kita masih menunggu dari Istana Negara,” kata Khalid dalam sidang media kedua yang dianjurkan oleh jawatankuasa pimpinan beliau.

Sebelum ini, Khalid bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohamad Sabu telah masuk ke Istana Negara dan menyampaikan surat bagi memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ekoran itu, Istana Negara telah memaklumkan Yang di-Pertuan Agong sudi menerima mereka menghadap pada satu masa yang akan ditentukan kelak.

Menurut Khalid yang menjadi moderator kepada sidang media pakar-pakar kesihatan mengenai vaksinasi dan tamat darurat, sementara menunggu tarikh menghadap, pihaknya akan membuat pelbagai program.

Jelasnya, langkah itu bertujuan menyedarkan masyarakat keburukan darurat dan mengumpul data yang berkaitan dengannya untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sidang media ini adalah yang kedua selepas sidang media yang membariskan pakar-pakar ekonomi sebelum ini.

“Kita akan membuat sidang media ketiga oleh pakar-pakar perlembagaan pula selepas ini kalau masih sempat iaitu jika Istana Negara masih belum menentukan tarikh lagi,” kata Khalid.