Malaysia Dateline

JKM bidas netizen, lebih baik jadi sukarelawan dari sebar provokasi

Susulan viral video Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun sehingga menjadi bahan ‘troll’ di platform media sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus mempertahankan gelagat menteri mereka.

Dalam kenyataan, JKM berasakan tidak adil para netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha dan penglibatan Rina Harun dalam operasi pembersihan di Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi

JKM juga menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk tampil mendaftar dan terlibat menjadi Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu Operasi Pasca Banjir, dari membuat dan menyebarkan provokasi yang tidak bermanfaat.

Terdahulu, JKM telah mengaturkan Operasi Pasca Bencana Banjir hari ini dengan membersihkan Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi yang telah dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dari 18 hingga 23 Disember 2021.

Katanya, Rina telah dijemput untuk turut serta dalam operasi ini bukan sekadar pembersihan kawasan, malah turut bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia yang lain.

“Mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“YB Datuk Seri Rina juga turut mengemas khemah-khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan akan datang,” kata JKM.

JKM terpanggil untuk menjawab isu tular yang mendakwa YB Datuk Seri Rina hanya “berposing” mencuci simen bersih di sekolah tersebut.

JKM selaku Jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

Jelas JKM memandangkan dua peralatan waterjet sedia ada di lokasi pembersihan, Rina tidak menolak pelawaan dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka.

“JKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa keterlibatan YB Datuk Seri Rina bukanlah sekadar membersihkan simen tersebut, malah beliau telah sama sama melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan. Gambar-gambar aktiviti ini disertakan untuk tatapan umum,” katanya.