Malaysia Dateline

JKM Melaka bantu daftar kad OKU Nur Qaseh Umairah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan membantu mendaftarkan kanak-kanak yang menderita sakit paru-paru akibat jangkitan Adenovirus, Nur Qaseh Umairah Mohd Najib sebagai pemegang status Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi membolehkannya mendapat manfaat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan elaun RM150 sebulan.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri Ginie Lim Siew Lin berkata langkah itu bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga kanak-kanak berusia lima tahun itu setelah bantuan sebanyak RM350 sebulan untuk pesakit terlantar dihentikan JKM berdasarkan syarat kelayakan terkini.

“Kita bersimpati dengan nasib adik Nur Qaseh Umairah yang terpaksa bergantung kepada bantuan mesin pernafasan bagi meneruskan kelangsungan hidupnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Taman Seri Duyong 3 semalam.

Turut hadir Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik dan Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Rizalman Syed.

Kelmarin media melaporkan bapa kanak-kanak itu, Mohd Najib Bebet, 37, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap JKM yang menghentikan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM350 sebulan berdasarkan syarat kelayakan baharu yang dikemas kini JKM pada Jun tahun lepas.

Mengulas lanjut, Ginie Lim berkata berdasarkan syarat kelayakan baharu tersebut, bantuan yang diterima Nur Qaseh Umairah sejak 2016 yang bermula RM300 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM350 pada 2017 itu dihentikan kerana pendapatan isi rumah keluarga tersebut melepasi garis kemiskinan iaitu melebihi RM3,000 sebulan.

Sementara itu, Mohd Rizalman berkata pihaknya akan cuba membantu keluarga tersebut membeli mesin bantuan pernafasan atau set mesin terapi Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) bagi meringankan beban kewangan keluarga itu.

“MAIM juga masih menyalurkan bantuan kewangan RM350 sebulan kepada keluarga sejak 2016 sehingga Jun 2020 dan ia akan dikaji semula mengikut keperluan semasa,” katanya.

Noraini Ab Raoh, 37, ibu Nur Qaseh Umairah berkata perbelanjaan keluarga dan keperluan penjagaan anak sulung daripada dua beradik itu daripada pendapatannya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek, di sini kerana suaminya hanya berniaga sate pada Sabtu dan Ahad bagi menjaga Nur Qaseh Umairah yang memerlukan perhatian khusus.

Beliau berkata lebih membebankan apabila bantuan susu dan mesin terapi CPAP yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini turut dihentikan pada tahun lepas.

“Anak saya ini (Nur Qaseh Umairah) tidak boleh makan, hanya bergantung pada susu khas berharga RM85 satu tin dan ia hanya mampu bertahan selama tiga hari,” katanya sambil menambah mereka juga perlu membayar bil elektrik sebanyak RM500 sebulan kerana penggunaan mesin CPAP selama 24 jam sehari .

Selain itu, guru sejarah itu berkata beliau dan suami terpaksa menyewa salah satu mesin daripada set berkenaan daripada individu luar pada harga RM400 sebulan kerana mesin yang diterima daripada JPA telah rosak.

– BERNAMA