Malaysia Dateline

JKM menganaktirikan MP PH untuk proses salur bantuan makanan

Jabatan Kebajikan Masyarakat digesa agar tidak menganaktirikan dan membelakangkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam proses penyaluran bungkusan makanan asas kepada penduduk di kawasan Parlimen mereka.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berkata, ketika ini pihaknya menerima aduan tentang proses penyaluran makanan asas yang dikatakan berbeza-beza dan tidak diselaraskan bagi setiap negeri.

Aduan dibuat oleh beberapa ahli Parlimen Johor itu, mendakwa tidak dimaklumkan oleh pihak JKM tentang perubahan kaedah penyaluran makanan yang seharusnya melalui pejabat ahli Parlimen kawasan.

“Di Johor, ada Ahli Parlimen PH yang berkata mereka tidak dihubungi pihak JKM bahawa bungkusan makanan asas ini akan disalurkan melalui Majlis Keselamatan Negeri atau badan lain.

“Majlis Setiausaha menegaskan bahawa waktu penularan wabak Covid-19 bukanlah waktu untuk bermain berpolitik dan bergulat dengan karenah birokrasi,” tegasnya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Sebelum itu, Majlis Setiausaha menyambut baik, dana sebanyak RM22.2 juta yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua kawasan Parlimen, di mana 1,000 bungkusan makanan asas akan diberikan kepada keluarga yang paling memerlukan.

Oleh itu menurut PH, ketika ini adalah masa untuk setiap badan berperanan menggembeleng seluruh tenaga untuk memerangi Covid-19 disamping membantu mereka yang terkesan.

“Ahli-Ahli Parlimen yang sah dipilih, mempunyai mandat untuk mewakili suara rakyat di kawasan mereka.

“Tentunya mereka berhak mengambil bahagian secara aktif di dalam muafakat bersama untuk mengurangkan beban golongan yang terkesan,” katanya.

Dalam pada itu, PH mengingatkan agar setiap badan yang berkewajiban agar mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama secara dwipartisan demi rakyat dan negara.