Malaysia Dateline

JKN Sarawak sahkan satu kes Influenza A negatif H1N1

Jamilah Hashim

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak hari ini mengesahkan bahawa satu daripada tiga kes akibat Influenza A adalah negatif H1N1.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim melalui kenyataan yang dikeluarkan petang ini di Kuching menyatakan hasil siasatan ketiga-tiga kes kematian mendapati mempunyai sampel klinikal positif Influenza A tetapi ujian lanjut ia adalah virus influenza bagi kes pertama negatif H1N1.

Katanya, untuk kes kedua dan ketiga masih belum diperolehi keputusannya namun ketiga-tiga kes berkenaan adalah tergolong dalam kalangan individu berisiko

“Jangkitan bagi ketiga-tiga kes tersebut tiada kaitan antara satu sama lain tetapi siasatan juga mendapati tiada jangkitan kes baharu atau kluster yang dilaporkan susulan daripada setiap kes tersebut,” jelasnya.

Beliau turut mengulas mesej tular baru-baru ini berkenaan tiga kes kematian akibat H1N1 di Hospitak Umum Sarawak (HUS).

Dr Jamilah menegaskan, kebiasaanya, jangkitan yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan terhadap orang biasa.

Bagaimanapun, katanya ia boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain penyakit.

Tambah beliau lagi, komplikasi akibat jangkitan influenza teruk dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

“Secara amnya, kejadian berkaitan jangkitan pernafasan termasuk influenza di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengesan situasi kejadian luar biasa melalui sistem survelan.

“Pemantauan tersebut meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (SARI).

“Justeru, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan turut bertanggungjawab untuk memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia,” ujarnya.

Kata beliau, berdasarkan trend yang direkodkan dari aktiviti survelan berkenaan, kes ILI didapati mencatatkan peningkatan dalam julat normal sejak awal November 2019.

Malah katanya, trend yang direkodkan itu hampir sama berbanding pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus),” tambahnya.

Mengenai Influenza, beliau, menjelaskan ia merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Katanya, demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit antara manusia terutamanya di tempat-tempat yang berkepadatan tinggi seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan dan kem-kem tentera atau polis.

“Untuk mencegah penularan jangkitan influenza lebih-lebih lagi pada musim cuti perayaan dan cuti persekolahan, JKN Sarawak ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer dan mengamalkan adab batuk yang baik.

“Kepada mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza, dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung.

“Sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak yang berterusan, segeralah ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi.

Seterusnya beliau berharap agar orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta.