Malaysia Dateline

JKPP mohon Felda dikekalkan sebagai pemegang saham utama FGV

 

Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) memohon supaya Felda dikekalkan sebagai pemegang saham utama dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, pihaknya percaya tawaran daripada pihak ketiga untuk mengambilalih FGV adalah lebih kepada memenuhi kepentingan korporat mereka.

Sulong Jamil

Beliau berkata, pihaknya juga merasa amat terkilan kerana keringat yang disumbangkan untuk membangunkan Felda sekali gus menjadikan FGV sebagai satu syarikat global yang berwibawa di mata dunia, hanya akan tinggal kenangan.

“Kami juga mencadangkan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) berganding untuk memiliki saham FGV sehingga 51 peratus.

“Dengan pemilikan saham majoriti, kami amat yakin gerak kerja transformasi memulihkan FGV lebih mudah untuk berjaya dan kami percaya FGV boleh dipulihkan tanpa pihak ketiga.

“Pada masa ini, Felda menguasai saham majoriti iaitu 33.6 peratus melalui pegangan terus sebanyak 21.2 peratus dan Felda Asset Holdings sebanyak 12.4 peratus,” katanya dalam sidang media khas berkenaan isu tersebut yang diadakan di Restoran Felda D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Dalam pada itu, Sulong berpendapat FGV sepatutnya mengagihkan keuntungan dan membayar sewa pajakan kepada Felda yang berjumlah RM800 juta setahun dengan pendapatan dari sumber dalamaan seperti pelaburan, sewaan dan lain-lain jumlah pendapatan Felda sepatutnya RM1 bilion setahun.

“Tetapi, apa yang telah berlaku adalah sebaliknya iaitu saham FGV merudum dari harga semasa. Ianya dijadikan syarikat awam RM4.55 seunit dan sekarang tinggal RM1.10 seunit (semalam).

“Ini menyebabkan harapan warga Felda untuk meraih dividen daripada pelaburan KPF sebanyak 5 peratus dalam FGV tidak mendatangkan hasil, malah lebih rendah daripada hasil peneroka,” ujarnya lagi.

Menurut Sulong Jamil, seperti yang dilaporkan akhbar The Edge Malaysia bertarikh 30 September 2019, ada pihak ketiga telah memohon dan berusaha kepada kerajaan untuk menguasai FGV dengan memegang saham majoriti dalam syarikat berkenaan.

“Sekiranya usaha mereka berjaya, Felda bukan lagi pemegang saham terbesar dalam FGV. Maknanya, syarikat yang ditubuhkan daripada asal yang membentuk satu rantaian atau sinergi dan aktiviti huluan hingga hiliran, akan terputus kerana aktiviti itu akan dikuasai pihak swasta daripada luar Felda,” katanya.

Ditanya mengenai siapakah orang ketiga yang dimaksudkannya, beliau hanya memberi komen supaya pemberita membaca semula laporan The Edge bertarikh 30 September 2019.