Johan CEO TH yang baharu bermula 16 Mei

Johan CEO TH yang baharu bermula 16 Mei

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan serahan tugas Tan Sri Ismee Ismail sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif  TH kepada Datuk Johan Abdullah berkuatkuasa 1 Julai 2016.

Kenyataan rasmi TH itu menyebut Johan yang menyertai TH sejak 15 Januari 2015 sebagai timbalan pengarah urusan kumpulan dan timbalan ketua pegawai eksekutif TH juga akan menggalas tugas sebagai ketua pegawai eksekutif bermula 16 Mei 2016.

Menurut Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serahan tugas oleh Ismee selaras dengan pelan penggantian TH yang telah dirancang sejak Januari 2015.

Kepimpinan Ismee katanya telah banyak menyumbang kepada kejayaan TH sehingga memperoleh pengiktirafan dan penghormatan di peringkat antarabangsa.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 pendapatan TH mencecah lebih RM4 bilion manakala keuntungan selepas zakat dan cukai melebihi RM3 bilion.

Semalam Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mahu pengurusan TH menarik balik laporan polis yang pernah dibuat ke atas beliau jika benar Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Ismee Ismail akan meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR ini berkata, dengan mengambil kira keterlibatan Ismee di dalam 1MDB dan kemungkinan beliau juga akan disiasat tidak lama lagi, ujarnya kerajaan tidak boleh melantik Ismee ke mana-mana jawatan dalam agensi, badan atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan sehingga siasatan selesai dan disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kecuaian.

Rafizi turut mencadangkan kepada pengurusan TH agar menyenarai pendek calon CEO yang dipilih dari luar organisasi itu supaya beliau boleh bertindak secara objektif menilai segala masalah yang ada.

Selain katanya, calon CEO baharu itu hendaklah melalui proses saringan yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab membuat pendengaran terbuka (confirmation hearing) bagi memastikan beliau benar-benar sesuai.

CEO baharu juga, tambah beliau perlu melakukan audit khas mengenai kedudukan kewangan dan operasi kumpulan TH sebaik dilantik dan dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

TAGS