Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Kedah Datuk Johari Abdul secara rasminya telah mengumumkan meletakkan jawatan beliau sebagai Adun dengan serta merta.
Kata beliau, surat mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Adun (N. 22) Gurun telah pun diutuskan kepada Speaker Dun Kedah, Datuk Johari Bulat bertarikh 13 Disember 2022.
Jelas Johari lagi, dalam surat tersebut telah dinyatakan bahawa perletakan jawatan sebagai Adun Gurun berkuatkuasa serta-merta dari tarikh surat tersebut diterima oleh Speaker.
Kerusi Dun Gurun telah dimenangi oleh beliau dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.
Katanya, Gurun bukanlah satu kawasan yang mudah untuk dimenangi dan bertahun-tahun telah didominasi oleh Barisan Nasional (MCA) sejak puluhan tahun sebelum ini.
Namun begitu ujar beliau, pada tahun 2018 dominasi tersebut telah berjaya dipecahkan apabila PKR memenangi kerusi tersebut.
Sebelum ini spekulasi mengenai pencalonan beliau sebagai Speaker Parlimen telah bertiup kencang.
Kini dengan pengumuman perletakan jawatan sebagai Adun Gurun menguatkan lagi spekukasi tersebut menjelang sidang Parlimen ini.