Johor akan kenal pasti atlet silat berpotensi sumbang pingat Sukma

Johor akan kenal pasti atlet silat berpotensi sumbang pingat Sukma

Kerajaan Negeri Johor akan mengenal pasti beberapa atlet silat di negeri ini yang berpotensi untuk menyumbang pingat pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), yang menyaksikan Johor menjadi tuan rumah pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya akan melaksanakan beberapa siri pemilihan dan saringan yang akan dijalankan oleh Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Johor.

Beliau berkata saringan terbabit termasuk menerusi penganjuran beberapa kejohanan silat sebagai gelanggang pemilihan pesilat.

“Tidak dapat dinafikan yang kita (Kerajaan Negeri Johor) berharap dapat menyediakan pasukan yang terbaik agar boleh menjadi pesaing kepada negeri lain terutamanya pencabar utama seperti Pahang dan Sabah, seterusnya menjadi penyumbang pingat.

“Setakat ini juga, kita telah mengenalpasti beberapa pesilat, namun, kita masih belum memberikan 100 peratus pengesahan bahawa mereka akan mewakili Johor kerana perlu memastikan prestasi cemerlang terus mereka catat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Kejuaraan Silat Peringkat Negeri Johor 2019, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Pesaka Negeri Johor Mohd Lassim Borhan dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Muhamad Said Jonit.

Menurut Mohd Khuzzan, pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi mewujudkan ‘Satu Sekolah, Satu Silat’ dalam memastikan seni silat sentiasa dipelihara, sekali gus memupuk pelajar meminati seni silat.

Katanya, pihaknya juga akan meminta perguruan silat di negeri ini berdaftar dengan Majlis Kebudayaan Daerah agar segala aktiviti dapat dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri.

“Kerajaan negeri di bawah portfolio saya memang akan memberi sokongan penuh terhadap silat ini kerana seni ini merupakan salah satu pusaka bangsa yang mesti dikekalkan,” katanya.-BERNAMA.