Malaysia Dateline

bendera Johor

Johor bentang Belanjawan 2019 dengan lebihan RM3.43 juta

Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan 2019 dengan catatan lebihan sebanyak RM3.43 juta.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata anggaran hasil negeri pada 2019 adalah sebanyak RM1.55 bilion berbanding anggaran perbelanjaan RM1.54 bilion.

Beliau berkata dalam Belanjawan Johor 2019,  kerajaan negeri telah menggariskan enam teras strategik bagi memacu pembangunan menyeluruh negeri.

Enam teras itu adalah Menjamin Kesejahteraan Rakyat; Pembangunan Lestari Dan Pemuliharaan Sumber; Pembangunan Infrastruktur, Penggerak Zon Perdagangan Dan Komuniti Digital; Demokrasi Dinamik Dan Kesaksamaan Sosial; Memodenkan Sistem Pendidikan Islam, Modal Insan Dan Warisan Budaya serta Urus Tadbir Cekap, Berintegriti Dan Demokratik.

“Secara keseluruhannya, belanjawan kali ini merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus berdasarkan enam strategik. Ia hasil garapan daripada suara rakyat Johor dan juga Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 dengan tema ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari’, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Osman berkata sejumlah RM949.34 juta, tidak termasuk caruman kepada kumpulan wang pembangunan diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus meliputi emolumen sebanyak RM496.16 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM259.86 juta), aset (RM13.68 juta) dan perbelanjaan lain (RM179.64) juta.

Beliau berkata bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM600 juta melalui caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Menurutnya, kerajaan persekutuan juga bersetuju untuk melupuskan hutang lapuk kerajaan negeri sebanyak RM189 juta.

“Maka daripada jumlah asal hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM334 juta, persetujuan penyelesaian ke atas jumlah baki hutang sebanyak RM145 juta pula, telah pun diusahakan dan pada peringkat akhir rundingan untuk dilupuskan oleh pihak kerajaan persekutuan.

“Insya Allah barisan kepimpinan kerajaan negeri beriltizam untuk menjadikan negeri kita bebas hutang mulai tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Osman berkata ekonomi Johor dijangka berkembang pada kadar 5 hingga 5.5 peratus tahun depan, lebih baik daripada kadar nasional yang mengambil kira struktur dan asas ekonomi Johor dan jangkaannya bermula projek minyak dan gas di Pengerang.

— BERNAMA