Malaysia Dateline

Johor bentang Belanjawan 2020 dengan lebihan RM2.36 juta

Kerajaan Johor hari ini membentangkan belanjawan dengan lebihan sebanyak RM2.36 juta bagi 2020 sekali gus menjadi belanjawan lebihan untuk tahun kesepuluh berturut-turut.

Belanjawan 2020 itu juga merupakan belanjawan lebihan untuk tahun kedua di bawah kerajaan Pakatan Harapan, yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal buat julung kalinya.

Dr Sahruddin berkata anggaran hasil negeri pada 2020 adalah sebanyak RM1.785 bilion berbanding anggaran perbelanjaan RM1.783 bilion.

Beliau berkata Belanjawan Johor 2020 bertemakan ‘Memakmur Dan Mensejahtera Johor Bestari’ itu menggariskan enam teras strategik bagi memacu pembangunan negeri.

Enam teras tersebut ialah mensejahtera rakyat; memakmur ekonomi; melestari alam sekitar; membangun modal insan dan pemperkasa syiar Islam; mengukuh jati diri dan memugar warisan budaya; serta menambah baik tadbir urus yang cekap dan berintegriti.

“Dalam Belanjawan Johor 2020, kerajaan negeri menyenaraikan 183 titik fokus untuk dilaksanakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, di sini.

Dr Sahruddin berkata menerusi Belanjawan Johor 2019, sebanyak 207 titik fokus telah dibentangkan untuk dilaksanakan dan sehingga 15 Nov lepas, 194 titik fokus telah dilaksanakan manakala baki 13 titik fokus lagi berada dalam tindakan awal pelaksanaan.

“Rasional penurunan jumlah titik fokus pada 2020 adalah disebabkan kerajaan negeri kini lebih memberi tumpuan kepada sektor tertentu yang menjurus kepada aspek kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, anggaran hasil kerajaan negeri pada 2020 adalah RM1.785 bilion sekali gus menjadikannya anggaran hasil tertinggi dalam sejarah penyediaan belanjawan Johor.

“Ini bermaksud anggaran kutipan hasil bagi tahun hadapan meningkat sebanyak 15.02 peratus berbanding 2019,” katanya.

Dr Sahruddin berkata sejumlah RM963.13 juta, tidak termasuk caruman kepada pelbagai Kumpulan Wang Amanah di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957, diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus meliputi emolumen sebanyak RM515.95 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM273.45 juta), aset (RM17.83 juta) dan perbelanjaan lain (RM155.90 juta).

Bagi perbelanjaan pembangunan 2020, kerajaan negeri memperuntukkan RM780 juta melalui caruman kepada kumpulan wang pembangunan, peningkatan sebanyak RM180 juta berbanding RM600 juta, pada 2019, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berusaha mengurangkan hutang dengan kerajaan Persekutuan dengan pinjaman kerajaan negeri dijangka menyusut kepada RM222.39 juta pada 31 Dis ini.

“Ini susulan bayaran penyelesaian penuh bayaran balik pinjaman mengikut jadual dan pelarasan sebahagian pinjaman kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan daripada pembiayaan secara pinjaman kepada pembiayaan secara geran.

“Ia melibatkan projek Kecemasan Pemindahan Air Mentah Layang 1 bernilai RM100 juta dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar sebanyak RM189 juta,” katanya.

Dr Sahruddin berkata kerajaan Johor melalui Perbendaharaan Negeri Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor serta Badan Kawalselia Air Negeri Johor juga akan meneruskan perbincangan dengan Pengurusan Aset Air Bhd bagi menyelesaikan baki pindahan hutang air lama yang tertunggak sebanyak RM145 juta.

Jika baki pindahan hutang air itu dapat diselesaikan, maka, pinjaman kerajaan Johor dijangka dikurangkan kepada RM71.71 juta pada 31 Dis, 2020, katanya.

— BERNAMA