Malaysia Dateline

Johor catat 2,222 kes denggi suku pertama tahun ini

Sebanyak 2,222 kes denggi direkodkan di negeri ini sejak Januari hingga 2 Mac tahun ini, dengan Johor Bahru mencatat jumlah tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata tempoh berkenaan turut menyaksikan enam kematian dicatat akibat demam denggi berbanding tiga kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

“Berlaku peningkatan kes denggi sebanyak 99.6 peratus manakala peratus kematian meningkat 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

Dr Sahruddin berkata faktor utama berlakunya peningkatan kes denggi disebabkan kurangnya menjaga aspek kebersihan.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat perlu peka dan cakna terhadap kebersihan serta tidak hanya bergantung semata-mata kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Untuk memerangi denggi sebenarnya senang sahaja, musnahkan nyamuk aedes dengan menjaga kebersihan,” katanya.

— BERNAMA