Johor catat rekod sembelihan kambing terbanyak dalam MBR

Johor catat rekod sembelihan kambing terbanyak dalam MBR
Cheo Yee How (empat dari kiri) bersama sijil The Malaysia Book Of Record.

Johor mencatat rekod penyembelihan kambing terbanyak pada Hari Raya Aidil Adha tahun ini oleh The Malaysia Book of Record (MBR).

Sebanyak 263 ekor kambing yang disembelih telah direkodkan dalam program Percubaan Mencatat Rekod Penyembelihan Terbanyak Korban Kambing 2019 yang diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru anjuran Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Kawasan Perling.

Menurut Adun Perling, Cheo Yee How berkata, program yang diadakan ini, adalah suatu perkara yang baik.

Selain menempa nama, menurutnya ia adalah suatu yang membanggakan kerana melibatkan orang ramai serta hadirin yang hadir dapat sama-sama meraikan suasana penyembelihan besar-besaran tersebut.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini sekaligus ia adalah suatu perkara yang membanggakan.

“Konsep berkorban ini adalah suatu yang mulia dan kita perlu menyambutnya dengan baik agar kemuliaan dari sifat berkorban ini dapat diterapkan dalam diri individu khususnya pemimpin di negara ini.

“Selain itu hasil (daging) korban ini dapat kita agihkan kepada penduduk atau rakyat yang memerlukan (asnaf) dan ia juga mampu membantu rakyat yang kurang berkemampuan tersebut.

“Saya juga teruja dengan sambutan dari rakyat serta masyarakat yang mengambil bahagian bagi menyaksikan catatan sejarah yang terlakar dalam program tersebut,” ujarnya ketika dihubungi.

Daging hasil dari sembelihan itu turut diagihkan kepada asnaf berdekatan kawasan tersebut.

Program itu turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi yang mewakilkan Menteri Besar Johor serta tetamu kehormat jabatan berkenaan yang lain.