Malaysia Dateline

Johor dianaktirikan kerajaan pusat: AMANAH sokong kenyataan TMJ

AMANAH Johor menegaskan kerajaan pusat perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan negeri itu agar segala permasalahan dapat diselesaikan.

Pemikirnya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain (gambar) berkata, kerajaan pusat perlu mengambil berat kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail berhubung negeri itu dianaktirikan.

“Perdana Menteri hari ini yang lahir di Johor boleh mendatangkan kesan yang positif kepada negeri ini agar ia tidak terbiar tanpa sebarang sentuhan atau tumpuan pembangunan yang pesat.

“Apa yang disuarakan baginda (TMJ) sememangnya bernas dan berasas. Boleh dipastikan Johor kini tidak lagi menjadi negeri yang berdaya saing dari segi pembangunan sedangkan Johor antara negeri penyumbang terbesar pendapatan negara.

“Hal ini perlu diperbincangkan agar Johor menjadi pemangkin seterusnya dalam pembangunan di negara ini seiring dengan kehendak rakyat di negeri ini,” tegasnya.

Pada 30 Jun lalu, TMJ menerusi akaun Facebook miliknya bersuara susulan kejadian kebakaran Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sehari sebelum itu.

“Sampai bila negeri Johor dan anak-anak Johor dianaktirikan?” titah TMJ.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zuhan turut menyatakan bahawa sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH), mereka berusaha untuk membangunkan Johor serta menarik perhatian kerajaan pusat untuk menumpukan negeri itu.

“Sewaktu PH memerintah, kita dapat lihat bagaimana PH Johor cuba menarik perhatian kerajaan pusat dengan mengadakan pelbagai program seperti Tahun Melawat Johor dan Sukma bagi usaha membangunkan negeri ini.

“Kini kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya memberi tumpuan segera dalam pembangunan negeri Johor.

“Antara yang menjadi keperluan hari ini adalah fasiliti dan infrastruktur yang terpinggir daripada perhatian kerajaan pusat,” tambahnya lagi.