Johor gagal tunai janji bina rumah mampu milik

Pimpinan PH berada di tapak yang dijanjikan untuk membina RMMJ pada PRU13.

Pengerusi DAP Tanjung Piai, Yeo Tung Siong mendakwa  kerajaan BN Johor gagal menunaikan janji mereka untuk membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Suhaizan Kaiat dan Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tanjung Piai juga mempersoalkan ketelusan janji Kerajaan Negeri Johor sebelum ini.

Menurut Yeo, lot tanah yang diambil yakni 1990, 1991 dan 778 itu adalah tempat yang digazetkan untuk pembangunan RMMJ.

“Janji kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 29 April 2013 sebelum Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

“Sehingga hari ini perkara ini masih tertangguh dan rakyat selama ini rasa tertipu dengan apa yang dijanjikan oleh BN sebelum ini,” ujar Yeo dalam sidang media itu.

Manakala menurut Suhaizan Kaiat, dalam janji yang terbaru BN, mereka telah menjanjikan 3000 RMMJ di Tanjung Piai dan perkara itu dilihat mustahil.

“Sebelum ini Najib Razak datang di Pekan Nanas berjanji pada PRU13 berkenaan dengan RMMJ dan perkara ini masih belum selesai tapi kali ini Najib datang Kukup berjanji lagi.

“Sepatutnya Najib perlu menjelaskan berkenaan dengan isu RMMJ ini dan bukan sibuk dengan janji baharu. Ini suatu pembohongan yang jelas dibuat Najib dan BN,” tegas Suhaizan.

Selain itu, calon PPBM Parlimen Tanjung Piai, Dr. Md Farid Md Rafik berkata sememangnya rakyat selama ini tertipu dengan janji-janji yang ditaburkan BN.

“Najib juga janjikan untuk membesarkan hospital di Pontian dan dari mulut Najib sendiri ia akan membina hospital dalam masa lima tahun.

“Apa yang dikhuatirkan ianya hanya janji tinggal janji,” ujar beliau.

CATEGORIES
TAGS