Malaysia Dateline

Johor guna tulisan Jawi dalam urusan agama Islam mulai tahun depan

Berkuatkuasa 1 Januari 2020, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menggunakan tulisan Jawi dalam segala urusan surat-menyurat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.

“Pelaksanaan ini juga termasuklah di peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar,di Johor Bahru hari ini.

Tosrin berkata, satu jawatankuasa juga turut akan ditubuhkan untuk memartabatkan lagi tulisan Jawi sebagai simbol agama Islam di negeri itu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, beliau menyokong sepenuhnya usaha menggunakan tulisan Jawi kerana dapat memperkasakan lagi tulisan berkenaan di negeri tersebut.

Pemimpin Bersatu itu berharap seluruh masyarakat terutama orang Islam dapat menghayati dan belajar tulisan Jawi.

“Semua di bawah jabatan agama Islam (termasuk MAINJ) mestilah menggunakan tulisan Jawi untuk memperkasakannya.

“Kalau kita hendak mengaji, kita mesti tahu baca dan tulis Jawi, jadi ia sedikit sebanyak dapat memahirkan kita untuk mengaji,” jelasnya lagi.