‘Johor kalau nak ubah kerajaan pun biarlah untuk rakyat’

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang perubahan kerajaan di negeri ini mestilah melibatkan agenda mendahulukan rakyat.

Beliau ketika ditanya berkenaan ura-ura keadaan kerajaan Johor yang mulai goyah memaklumkan kepada media bahawa tiada sebarang rundingan yang berlaku pada masa ini.

Katanya, agenda utama adalah untuk menumpukan kepada agenda menyelamatkan rakyat di negeri ini yang semakin terhimpit dalam kehidupan mereka.

“Kalau nak tukar kerajaan pun biarlah agendanya adalah demi rakyat yang mana kita mahu mendahulukan rakyat di negeri ini.

“Kalau untuk menjaga kepentingan sesuatu pihak kita tidak mahu bersekongkol dengan perkara tersebut. Ini bukan soal agenda peribadi, ini soal rakyat.

“Kita nak fokuskan rakyat bukan nasib mereka yang berkepentingan. Sebelum ini pun ada juga ura-ura kerajaan negeri nak jatuh tetapi tetap tak jadi kerana ada agenda peribadi yang tersembunyi,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, sekiranya ada pihak yang benar-benar bersungguh untuk membentuk kerajaan baharu di negeri ini ia perlulah mengikut saluran yang betul.

Tambah Dzulkefly, tidak perlu pihak terbabit memporak-perandakan keadaan sehingga melibatkan pelbagai sektor terkesan sama dalam masa terdekat.

“Kalau mereka mahu, mereka hanya perlu usulkan undi percaya YAB Menteri Besar di dalam sidang Dun nanti. Di situ kita tengok apa yang akan jadi.

“Tapi pastikan fokusnya adalah agenda untuk mendahulukan rakyat bukan sibuk mencaturkan diri mereka itu menjadi MB seterusnya,” katanya lagi.

Semalam, muncul dakwaan kononnya kerajaan negeri Johor bakal tumbang dengan empat Adun Bersatu sedia menarik diri dari kerajaan.

Empat Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika Umno masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, mereka sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.