Johor larang ceramah Ismail Menk, Haslin

Johor larang ceramah Ismail Menk, Haslin

Selepas Singapura, Johor pula bertindak mengharamkan dua pendakwah Islam, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Ustaz Haslin Baharim yang juga dikenali sebagai “Ustaz Bollywood” kerana keupayaan beliau menyanyi daripada menyampaikan ceramah di negeri itu.

Ini berikutan dakwaan bahawa pandangan mereka boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Portal Berita Harian Online memetik Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, sebagai berkata, keputusan itu adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dikeluarkan hari ini.

“Kandungan ceramah yang pernah disampaikan oleh kedua-dua penceramah sebelum ini dilihat boleh membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum.

“Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan,” katanya.

Sebelum ini, Singapura mengharamkan kedua-dua pendakwah berkenaan memasuki republik itu atas alasan pandangan mereka boleh menjejaskan keharmonian sosial dan menyebarkan pandangan yang memecah belahkan rakyat.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata pihaknya tidak menyokong permohonan dua pendakwah ini untuk berceramah di negara itu kerana ajaran mereka “bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang rakyat beragama Islam di Singapura.”

Kementerian Dalam Negeri Singapura, dalam satu kenyataan, melaporkan Ismail Menk dalam ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

Haslin pula dituduh membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan di antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai menyimpang.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS