Malaysia Dateline

Johor lebih stabil dengan 41 kerusi PH dan Umno

Kedudukan Kerajaan Negeri Johor akan lebih stabil jika mengikut formula negeri Perak, demikian menurut
Adun DAP Sheikh Omar Ali.

Beliau berkata, jika menggunakan formula Perak, Umno Johor yang memiliki 14 kerusi DUN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 27 kerusi maka akan membentuk jumlah 41 kerusi.

“Di mana jumlah ini adalah jauh lebih besar berbanding sekarang ini iaitu Umno Johor pada masa ini memiliki 14 kerusi DUN, PPBM 12, MIC 2 dan PAS 1,” kata beliau.

Menerusi facebooknya, Sheikh Omar berkata, 41 kerusi DUN membentuk majoriti lebih dua pertiga DUN Johor adalah kedudukan sangat stabil dan meyakinkan.

Bezanya, kata beliau hanya menteri besar yang sedia ada pada ketika ini adalah dari Umno, Menteri Besar Perak pula dari parti Bersatu.

“Soal bersetuju atau tidak, itu perkara lain. Tetapi dari segi angka, ya.

“Memang jika Umno dan PH berkerjasama di Johor, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri,” katanya.

Hari ini, kerajaan Perak pimpinan dari Bersatu Datuk Ahmad Faizal Azumu jatuh selepas berlaku undi percaya terhadap menteri besar itu.

Situasi di Perak ini mungkin akan berlaku kepada kerajaan negeri Johor yang mempunyai majoriti tipis.