Johor mahu menerajui kepimpinan anak muda

Johor mahu menerajui kepimpinan anak muda

Usaha membina peneraju pelapis hari ini adalah cabaran terbaru kepimpinan kerajaan yang baharu dipilih oleh rakyat. Jelas dapat dilihat, kebanyakkan pelapis dari kalangan anak muda di masa ini lebih mesra dalam mengambil tahu hal negara namun pada diri mereka ruang dan saluran yang terbatas membuatkan anak muda seperti terpinggir dalam kancah politik semasa.

Dari hal yang demikian, pandangan untuk membabitkan anak muda ke pentas pentadbiran serta kepimpinan adalah sangat penting dalam usaha mencapai matlamat memberi peluang kepada golongan tersebut. Ini boleh direalisasikan dengan mengadakan tempat untuk golongan anak muda mempelajari cara kepimpinan mentadbir sebuah negeri.

Cadangan mewujudkan Ahli Dewan Negeri Belia Johor ini adalah asas awal bagi meletakkan peranan golongan anak muda bagi mencapai objektif yang dikhendaki. Anak muda dari pelbagai latar belakang akan dipelawa menjadi wakil bagi perkumpulan mereka untuk membawa suara mereka di Dewan Negeri Johor yang disediakan khas untuk mereka.

Dalam pertemuan dengan Speaker Dewan Negeri Johor YB Suhaizan Kaiat, beliau telah mencadangkan untuk mewujudkan Dewan Negeri Belia yang akan melantik anak muda di seluruh negeri Johor untuk menjadi pembahas di dalam Dewan Negeri Belia tersebut. Dicadangkan juga persidangan akan berlangsung di dalam Dewan Negeri Johor dan tarikh persidangan tersebut pastinya tidak bertindih dengan sidang Dewan Negeri Johor.

Fungsi dewan tersebut adalah untuk menggalakkan anak muda menceburi bidang politik serta mengasah diri mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Kita akan memperoleh anak muda yang berkebolehan dalam memimpin negeri mahu pun negara di masa akan datang.

Ia sekaligus dapat mencungkil bakat kepimpinan anak muda yang ada di negeri dan dewan ini akan menjadi pusat pembinaan bakat. Selain itu sebagai sebuah kerajaan yang komited untuk mendengar seluruh pandangan rakyat pelbagai lapisan, Ahli Dewan Negeri Belia ini juga adalah salah satu cara untuk kerajaan mendengar keluhan tersebut.

Selain itu Speaker Johor ketika bertemu dengan mantan Speaker Johor Tan Sri Mohamad Aziz juga turut merasakan peri pentingnya suara anak muda dibawa ke landasan atau persada yang lebih tinggi. Ia diilhamkan kerana pada usia muda, anak muda mempunyai banyak idea dan pandangan berkenaan dengan pentadbiran negara. Diakui pada tahap umur mudalah kebanyakkan tahap minda kritis serta kreatif ini membenih.

Selain itu, anak muda adalah pembawa dasar masa hadapan kerana ia pastinya akan digarap untuk membentuk negara atau negeri yang diingini mereka pada usia tua nanti. Anak muda juga adalah individu pembawa zaman yang mana terkadang menjadi terlepas pandangan kepada golongan yang lebih tua berkenaan dengan dunia hari ini.

Tuntas dari itulah segalanya difikirkan amatlah perlu bagi mewujudkan pentas anak muda seperti Ahli Dewan Negeri Belia di negeri ini. Sememangnya negeri yang berjiran dengan negara yang kian pesat membangun seperti Singapura ini pastinya menjadi suatu cabaran yang hebat untuk bersaing dengan negara Kota Singa tersebut.

Dalam hal itu Speaker Johor telah merasakan, amatlah penting untuk merealisasikan matlamat ini dan perkara ini akan dibawa kepada kertas cadangan untuk dibahaskan ke dalam sidang Dewan Negeri Johor yang akan bersidang nanti. Segala cadangan ini akan diperhalusi lagi seperti lantikkan belia yang akan menjadi pemimpin dalam dewan tersebut perlu diselidiki terlebih dahulu.