Malaysia Dateline

Johor mahu telus, serius tangani isu balak di Mersing

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad memberitahu perincian mengenai penglibatan 10 syarikat dengan pembalakan di Mersing pada zaman BN akan dimaklumkan Menteri Besar.

Menurutnya, hal tersebut akan dilakukan selepas mendapat laporan bertulis lengkap daripada Pengarah Perhutanan negeri.

“Kita sebagai kerajaan negeri mahu bersikap telus dan memandang serius mengenai isu pembalakan di Mersing ini selain mahu rakyat juga maklum mengenai perkembangan masalah ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Iskandar Puteri, hari ini.

Dzulkefly berkata, pembabitan 10 syarikat itu dikemukakan dalam laporan Jabatan Perhutanan Johor pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bersidang semalam.

Pada masa sama, jelasnya, kerajaan negeri sedang menunggu laporan mengenai kesahihan gambar satelit peta Google yang menunjukkan beberapa lokasi hutan di Mersing sudah gondol akibat kegiatan pembalakan.

“Saya dimaklumkan oleh Menteri Besar, beliau sudah menerima laporan daripada Datuk Jeffri Abd Rasid (Pengarah Perhutanan negeri) dan difahamkan imej peta Google itu adalah imej lama, yang mana kita sedang menunggu pengesahan.

“Bagaimanapun, saya difahamkan ia (pembalakan) adalah projek yang diluluskan kerajaan lama (BN) iaitu penanaman hutan getah membabitkan 10 syarikat yang diberi kelulusan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulkefly berharap laporan penuh mengenai isu pembalakan itu dapat diterima sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disambung Ahad ini.