Johor mahu tiada pertindihan kerusi, guna satu warna baju jika pendaftaran PH gagal

Johor mahu tiada pertindihan kerusi, guna satu warna baju jika pendaftaran PH gagal

Perwakilan negeri Johor Azam Mehtar mahu Pakatan Harapan menetapkan pembahagian kerusi bagi empat parti dalam gabungan itu bagi hadapi Pilihan Raya Umum ke 14 tanpa berlaku pertindihan kerusi sebagaimana yang pernah berlaku pada PRU13 lalu ketika dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan selepas pembentangan Bajet Jumaat ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Razak atau selewatnya pada Jun 2018 Parlimen akan dibubarkan, Pakatan Harapan masih mempunyai ruang yang cukup untuk menentukan pembahagian kerusi antara PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu.

“Rakyat tertunggu kepimpinan utama Pakatan Harapan untuk putuskan kerusi yang ditandingi oleh komponen Pakatan Harapan dan Amanah Johor ternanti-nanti di mana kerusi kami.

“Johor berpandangan biar lambat agar tidak berlaku pertindanan kerusi sesama Pakatan Harapan berulang kembali sebagaimana di Sarawak pada PRU13 lalu,” ujarnya ketika membahaskan pidato Presiden petang ini.

Ketua Pemuda Negeri Johor ini juga berkata, AMANAH sebagai parti politik Islam perlu belajar dari sejarah dan menjadi sebuah parti dan pemimpin politik yang boleh menjangkau masa depan.

“Kalau kita lihat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub antara pemimpin Pakatan Harapan yang telah dipenjarakan di bawah Akta ISA oleh Dr Mahathir.

“Sekiranya mereka boleh berlapang dada bersama parti Bersatu adakah kita sebagai ahli AMANAH tidak boleh berlapang dada dengan komponen parti dalam Pakatan Harapan pula?” soalnya.

Justeru beliau menegaskan semua pimpinan dan ahli di negeri adalah jentera pilihan raya bagi Pakatan Harapan, bukan semata-mata menjadi jentera parti masing-masing.

Beliau turut mencadangkan sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan pendaftaran logo  Pakatan Harapan, beliau mencadangkan parti komponen dalam Pakatan Harapan menggunakan satu warna baju  dalam mengerakkan jentera pilihan raya.

“Kita adalah jentera parti Pakatan Harapan tidak kiraAMANAH, Bersatu, PKR, DAP . Jika mereka bertanding di kawasan AMANAH kita bersama bekerja kuat untuk menangkan Pakatan Harapan.

“Ahli AMANAH bukan sahaja berjiwa besar dan kita bangga kerana kepimpinan masa hadapan, mahu lihat petugas jentera pilihan raya miliki jiwa yang besar.

“Johor melihat  dengan satu logo adalah impian Johor bagi mudahkan gerak kerja di bawah.

“Sekiranya kita gagal guna satu logo,  Johor mencadangkan agar satu pakaian yang seragam warnanya di seluruh negara bagi petugas jentera pilihanraya Pakatan Harapan.

“Sekurang-kurangnya boleh tunjuk kepada rakyat bukan sahaja kita hanya bersatu di atas kertas tetapi juga di bersatu dilapangan kerja, kita juga bersatu hati,” ujarnya yang mendapat tepukan dikalangan 789 perwakilan yang hadir hari ini.

Wakil Johor adalah pembahas terakhir setelah sembilan pembahas dari beberapa negeri membuat ucapan petang ini yang berakhir jam 6 petang tadi dan perbahasan ditangguhkan untuk menyambung bahas pidato presiden esok.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 8.0