Johor paling ramai murid sekolah berisiko dadah

Johor paling ramai murid sekolah berisiko dadah

 

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan gejala pengambilan dadah dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat saban tahun dengan Johor menjadi negeri paling ramai berisiko terjebak kepada najis itu.

Seramai 158,092 murid sekolah rendah dan menengah dikesan berisiko dadah di Johor diikuti Selangor (153,207), Perak (108,467), Kedah (89,019) dan Pulau Pinang sebanyak 82,396 murid.

Secara keseluruhan sejumlah 1,087,026 murid di 2,024 sekolah rendah dan 944,403 pelajar di 996 sekolah menengah di seluruh negara berisiko terjerumus dalam gejala pengambilan dadah.

Hasil operasi dan siasatan AADK turut membuat penemuan mengejutkan apabila terdapat kes kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikesan sudah terjebak dalam penagihan dadah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib berkata, saringan ujian air kencing terhadap pelajar sekolah menengah dari 178 kawasan berisiko di seluruh negara tahun lalu mendapati 1,750 daripada 36,876 orang atau lima peratus positif dadah.

Dipetik daripada temu bual akhbar Berita Harian hari ini, jelasnya, angka itu menunjukkan kenaikan 1.2 peratus berbanding 1,411 pelajar atau 3.8 peratus daripada 35,522 pelajar diuji pada tahun 2016.

Beliau mendedahkan ganja adalah pemula kepada individu termasuk remaja mengambil dadah lain yang memberi kesan khayalan dan tenaga lebih seperti heroin, morfin dan seterusnya dadah perangsang seperti ecstasy, syabu dan pil kuda.

“Justeru, kawalan perlu dibuat dari awal dengan menyekat pengambilan dadah pemula ini oleh remaja.

“Jika tidak dikawal, mereka akan terus hanyut dengan pengambilan dadah perangsang.

“Rekod kita mengesahkan pengaruh rakan serta persekitaran dikelilingi orang dewasa membuatkan kanak-kanak dan remaja cenderung turut mencuba perbuatan seperti merokok, hidu gam dan meneguk minuman memabukkan,” ujarnya.

Beliau mengakui pertambahan penagih muda sebagai serius tetapi trend perpindahan jenis dadah diambil daripada konvensional seperti gam, ganja dan heroin kepada jenis sintetik seperti syabu, ecstasy, pil kuda dan bahan psikoaktif baharu lebih membimbangkan.

Menurut Izhar, pihaknya mengesan modus operandi sindiket dadah atau ‘tokan’ yang memperalat pelajar untuk mengedar dan menjual najis itu kepada penagih terutama rakan sebaya.

Jelasnya lagi, remaja dan pelajar yang dipergunakan tokan terbabit sebagai ejen menjual dadah dijanjikan upah lumayan serta dadah percuma sebagai umpan agar ‘bekerja keras’ mencari pelanggan.