Johor pastikan sukan beri pulangan besar kepada pendapatan negeri

Johor pastikan sukan beri pulangan besar kepada pendapatan negeri

– Kerajaan Johor akan menjadikan sektor sukan di negeri ini sebagai satu industri yang mampu memberikan pulangan besar kepada pendapatan Johor pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Sheikh Umar Bagharib Ali berkata ia selaras dengan penubuhan Sports Johor yang berperanan sebagai satu badan menyelaras pembangunan sukan.

Beliau berkata Johor sangat istimewa kerana berjiran dengan Singapura, yang mana negeri ini boleh mengambil kesempatan berkenaan bagi menarik kedatangan rakyat republik itu untuk menggunakan pelbagai fasiliti sukan di negeri ini.

“Buat masa ini kita (Johor) mempunyai beberapa fasiliti sukan yang terbaik di Asia Tenggara termasuk bagi sukan memanah, yang mana ianya agak rugi sekiranya tidak dimanfaatkan menjadi sumber pendapatan seterusnya menjadi satu industri di rantau ini.

“Kita perlu menjadikan contoh dua negeri iaitu Selangor yang menjadikan sukan sebagai bidang hiburan manakala Perak pula menjadikannya sebagai pelancongan bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung datang ke negeri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Program Ihya Ramadan [email protected] dan Solat Tarawih di Masjid Felda Kahang Barat, di sini, malam tadi yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Menurut Sheikh Umar, berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020, ia adalah pemula atau ‘blue print’ kepada Pelan Sukan Johor 2020-2030 yang akan menjadi peneraju kepada ‘sukan sebagai industri’.

Katanya, untuk menjayakan Sukma, pelbagai fasiliti terbaik dibina atau dinaik taraf dan kini ianya telah 50 peratus siap menjelang sukan berkenaan tahun hadapan.

“Berkenaan Sukma ini, kerajaan negeri telah menerima khabar gembira apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memberikan reaksi positif untuk bekerjasama.

“Berkenaan venue pula, setakat ini tiada perubahan dan kini kita akan teruskan sahaja perancangan yang telah direncanakan sejak tahun 2017 lagi, dan ketika itu jugalah Sports Johor ditubuhkan,” katanya- BERNAMA