Johor perlu ambil serius amaran Bank Negara, sediakan rumah mampu milik untuk rakyat

Kerajaan Negeri Johor digesa mengambil serius amaran keras Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung ketidakseimbangan pasaran harta tanah yang semakin kritikal di negeri itu dan mengambil langkah segera dan berkesan bagi memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan rumah kediaman yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Sehubungan itu naib presiden Pakatan Harapan (PH) Salahuddin Ayub (foto) mahu kerajaan negeri memastikan penyediaan rumah mampu milik di Johor diselia dengan baik dan lebihan rumah yang tidak terjual ekoran harga yang tinggi diatasi.

Salahuddin yang juga timbalan presiden AMANAH memetik laporan Buletin Suku Tahunan 2017 BNM yang mendedahkan bahawa Johor mempunyai jumlah rumah tidak terjual tertinggi di Malaysia pada kadar 27% daripada jumlah hartanah yang tidak terjual di negara ini.

“Punca kepada banyak rumah tidak terjual adalah disebabkan oleh ketidakpadanan harga rumah dengan kemampuan isi rumah di Johor yang semakin hari semakin kritikal.

“Kewujudan rumah-rumah mahal atau tidak mampu milik semakin mendominasi pasaran perumahan di Johor,” katanya.

Keadaan ini, ujarnya mengakibatan semakin ramai generasi muda di Johor yang tidak memiliki rumah dan tidak hairanlah jika BNM memberi amaran keras kepada kerajaan negeri.

“Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Johor berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek perumahan akan datang.

“Saya juga ingin memetik laporan rasmi oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya ‘Making Housing Affordable’ yang juga meletakkan Johor sebagai julat 4.2 pada tahun 2016 yang meletakkan rumah di Johor sebagai ‘seriously unaffordable’ atau sangat tidak mampu milik berdasarkan pendapatan median rakyat Johor,” tegas Salahuddin.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepincangan ini tidak dibiarkan berlarutan sehingga pihak lain terpaksa membantu membina rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat negeri ini.

“Justeru, saya ingin memberi amaran kepada Kerajaan Negeri Johor untuk bertindak segera agar masalah ini tidak berlarutan dan rakyat mendapat manfaat yang terbanyak dalam sebarang pembinaan rumah kediaman di Johor,” tegasnya lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0