Johor perlu kepimpinan berwibawa, mahir mentadbir, visi yang jelas, kata Khaled Nordin

Johor perlu kepimpinan berwibawa, mahir mentadbir, visi yang jelas, kata Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Johor memerlukan kepimpinan tertinggi yang bukan sekadar berwibawa tetapi mahir mentadbir dan mempunyai kejelasan visi bagi memajukan Johor dan rakyatnya,kata  bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Beliau berkata, perletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian adalah tindakan bertanggungjawab yang harus dihormati.

“Kedudukan Kerajaan Negeri Johor semenjak sebelas bulan lepas adalah sangat tidak memberangsangkan dan rapuh.

“Ini telah menyebabkan defisit kepercayaan terhadap Kerajaan Negeri dan institusi di bawahnya mencapah dan meningkat dengan drastik sekali.

“Banyak sekali janji dalam manifesto dan pelbagai agenda rakyat terus gagal dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya malam ini.

Beliau jugab erkata calon penganti bagi mengisi kekosongan kerusi Menteri Besar Johor itu perlulah dilantik dikalangan mereka yang boleh menjadi teladan dalam pembawaan dan amanah serta cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Umno katanya akan terus memainkan peranan semak dan imbang sebagai pembangkang yang berwibawa dan berkesan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Kepada mantan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, saya mengucapkan terima kasih atas jasa dan sumbangsih terhadap rakyat Johor selama 11 bulan lepas,” ujarnya.

Hari ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakkan Osman berkuatkuasa semalam.

Mahathir berkata kerajaan mempunyai 3 hingga 4 calon untuk mengisi jawatan menteri besar.

“Ikut perjanjian Pakatan Harapan, menteri besar Johor daripada PPBM,” ujar Mahathir.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan.

Tunku Ismail mengingatkan kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan.

Osman dipilih menjadi menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.