Malaysia Dateline

Johor perlu muktamadkan penyeragaman had umur belia

 

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak Menteri Besar (MB) Johor supaya mempertimbangkan secara muktamad mengenai penyeragaman had umur belia di negeri itu.

Beliau berkata, sekiranya had umur itu tidak diseragamkan, ia akan menimbul kekecohan pada kemudian hari ini.

“Kalau tidak seragam, nanti akan timbul kekecohan. Apabila masuk Johor, umur belia 40 tahun, keluar dari Johor, jadi 30 tahun.

“Saya diberitahu kerana pandangan Istana Johor. Ini soal pentadbiran dan sewajarnya ruang diberikan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar yang seragam.

“Sekiranya perlu, Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) juga boleh berjumpa dengan pihak Sultan Johor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu itu.

“Akan timbul bermacam-macam perkara. Kesan yang tidak baik boleh timbul, bila umur sudah diturunkan kepada 30 tahun, bermakna kita mengiktiraf peranaan anak muda,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut berpendapat, seeloknya Johor menerima perkara itu (umur belia diturunkan kepada 30 tahun).

“Ini kerana, akta sudah dibuat di peringkat nasional. Walaupun isu belia melibatkan kedua-dua pihak, tetapi untuk faedah nasional, ia wajar diseragamkan,” ujarnya lagi.

Semalam, dalam tempoh 24 jam, kerajaan Johor membuat dua keputusan berbeza tentang penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Selepas mengumumkan menerima perubahan kerajaan Persekutuan untuk menurunkan had umur kepada 30 tahun, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali memberitahu kerajaan negeri kembali kepada pendirian Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal sehari sebelum itu yang mahu had umur belia kekal 40 tahun.