Malaysia Dateline

Johor sedang teliti kajian keperluan, konsep Universiti Johor

Kerajaan negeri sedang meneliti Kajian Keperluan dan Konsep Universiti Johor dalam usaha penubuhan universiti berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Aminolhuda Hassan berkata ia dilakukan menerusi jawatankuasa induk yang dipengerusikan beliau sendiri dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Ramlee A Rahman.

“Kajian Keperluan dan Konsep Universiti Johor ini kini berada di peringkat akhir pelaksanaannya dengan kos pelantikan perunding sebanyak RM496,843.62.

Konsep Universiti Johor ini hendaklah selaras dengan 10 lonjakan bagi memantapkan sistem pendidikan tinggi negara seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Hahasrin Hashim (BN-Panti) yang meminta dinyatakan secara terperinci hasil kajian dibuat terhadap penubuhan Universiti Johor dengan peruntukan RM500,000.

Aminolhuda berkata antara syor yang sedang diteliti adalah cadangan untuk menaik taraf institusi-institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri.

Menurutnya, pelaksanaan penubuhan Universiti Johor perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan universiti tersebut dapat beroperasi dengan baik dari aspek pengurusan, kurikulum dan kewangan sekali gus menyokong pertumbuhan pesat negeri ini.

“Bagi membolehkan Johor sentiasa bersedia membekalkan tenaga kerja mahir dan profesional yang mempunyai kreativiti serta inovasi dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri Johor kekal pesat membangun, sektor pendidikan telah dikenal pasti sebagai antara sektor pemacu utama bagi meletakkan Johor sebagai kuasa ekonomi serantau.

Salah satu janji di dalam manifesto kerajaan negeri adalah penubuhan Universiti Johor. Inisiatif ini dikemukakan bagi meningkatkan tahap pendidikan yang berkualiti di negeri Johor dan seterusnya akan membantu ke arah pembangunan negeri ini,” katanya.