Malaysia Dateline

Johor sedia dana kepada syarikat pemula niaga dalam Belanjawan 2020

Kerajaan Johor akan memperuntukkan sejumlah dana kepada syarikat pemula niaga dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada November ini bagi memastikan lebih banyak lagi syarikat berkenaan dapat melibatkan diri dalam aktiviti e-dagang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata mengikut rekod, terdapat kira-kira 50 syarikat pemula niaga di Johor ketika ini dengan kebanyakannya terletak di Iskandar Puteri.

“Saya tidak boleh sebut secara terperinci macam mana kita (Kerajaan Johor) akan bantu sebab Belanjawan Johor 2020 belum keluar (bentang) tetapi yang pasti, akan ada satu sistem di mana kita membantu dari segi dana tetapi macam mana dana itu diedarkan, kita akan umum kemudian.

“Apa yang penting kita hendak rakyat tahu bahawa kerajaan memahami keperluan syarikat-syarikat ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena malam penghargaan terhadap pembeli projek kawasan perindustrian Frontier 3 di Ulu Tiram, di sini, malam tadi

Menurut Puah, kebanyakan daripada syarikat pemula niaga di negeri ini juga belum mempunyai akses ke pasaran luar negara.

“Kita telahpun membuat perbincangan dengan pemain pasaran tentang isu pemula niaga ini dan kita dapati di Johor, walaupun ada komuniti pemula niaga tetapi mereka tidak bertumpu.

“Mereka juga tidak mempunyai akses luar dari Malaysia atau Johor sedangkan mereka perlu ada jaringan ke tempat lain seperti Silicon Valley untuk mencari ‘mentorship’, orang yang ada pengalaman, sudah berjaya dan boleh mendidik serta memberi pandangan selain untuk mencari rakan kongsi bagi berkolaborasi dalam sesuatu projek,” katanya.

Menyedari keadaan itu, katanya, semasa misi dagangan beliau ke Amerika Syarikat baru-baru ini kerajaan negeri telah berunding dengan dua syarikat di Silicon Valley, California, bagi mendapatkan sokongan mereka untuk mengerakkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula negeri.

“Dua syarikat terbabit ialah Global Silicon Valley dan 500 Startups. Kedua-dua syarikat ini memang pakar dalam bidang ini dengan syarikat 500 Startups agak aktif di rantau Asia kerana ada cawangan di Thailand dan China.

“Kami berharap dengan rundingan ini kedua-dua syarikat itu boleh membuat pelan tindakan atau sesuatu yang dapat meneliti dengan mendalam ekosistem pemula niaga kita,” katanya.